10,000 hadiri Program Sinari Rohingya di Sabah

10,000 hadiri Program Sinari Rohingya di Sabah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Persatuan Pakatan Berintegriti Sabah (Sinar) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) telah berjaya menganjurkan karnival Sinari Rohingya selama dua hari bermula 24 sehingga 25 Disember 2016 bertempat di Dataran Palma, Lahad Datu, Sabah.

Program yang telah dirasmikan oleh Datuk Haji Datu Nasrun Bin Haji Datu Mansur, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia itu telah berjaya menarik kira kira 10,000 orang pengunjung sepanjang 2 hari karnival berlangsung.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang karnival ini berlangsung antaranya street soccer, pertunjukan kereta dan motor, persembahan artis tempatan, jualan gerai dan pameran serta ceramah penerangan isu Rohingya.

Setiausaha Sinar, Mohammad Rafi ketika ditemui berkata, program tersebut bertujuan untuk menyuntik kesedaran masyarakat tentang pentingnya bersikap peduli terhadap nasib masyarakat yang ditindas.

Kata beliau, masyarakat di negara ini khususnya di Sabah masih ramai tidak tahu tentang apa yang berlaku di Arakan, Myanmar dan apa yang dihadapai oleh etnik Rohingya itu.

“Kami mahu membangkitkan kesedaran rakyat khususnya umat Islam agar cakna terhadap perkembangan umat Islam di seluruh dunia.

“Sinar sangat berbangga apabila program yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat, mereka turut bersama-sama menyumbang tanda simpati dan kebersamaan mereka dengan masyarakat Rohingya.

Dalam pada itu Setiausaha Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor yang turut hadir memberi ceramah penerangan dalam program tersebut berkata, program penerangan isu Rohingya penting dilakukan untuk memberikan ibrah dan pengajaran bahawa pentingnya untuk mengekalkan perpaduan di kalangan rakyat dan menerima perbezaan pendapat agar tragedi di Arakan tidak berulang di Malaysia.

Ceramah yang disampaikan Ustaz Hakim telah memukau hadirin dan mendapat tepukan gemuruh dan diselangi dengan esakan tangis dari hadirin yang mendengar penderitaan Umat Islam Rohingya.

Dalam program yang sama, NGO Sinar juga telah mengambil peluang untuk mengadakan majlis penyampaian Anugerah Integriti Tilam kepada agensi kerajaan, usahawan, ngo dan tokoh remaja dan telah disempurnakan oleh YB Dato Nasrun.

Sambutan orang ramai khususnya sekitar Lahad Datu terhadap isu Rohignya adalah di luar jangkaan.

Kutipan dana dari orang ramai juga amat memberangsangkan dan telah diserahkan melalui Serantau Muslim untuk disampaikan kepada Muslim Rohingya yang teraniaya.

Sekiranya ada yang berminat untuk menyampaikan sumbangan kepada Umat Islam Rohingya, bolehlah masukkan wang sumbangan ke akaun SERANTAU MUSLIM di akaun MAYBANK 564100421083 dan mohon maklumkan sebarang transaksi kepada +6010-865 9407 ataupun email kepada admin@smuslim.com

TAGS