10 AJK Bersih, aktivis  dibebaskan

10 AJK Bersih, aktivis dibebaskan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lapan anggota jawatankuasa dan aktivis Bersih 5.0 serta dua aktivis kumpulan Baju Merah yang ditahan pada Jumaat lalu berhubung perhimpunan haram semalam, dibebaskan semalam.

Mereka ialah anggota jawatankuasa Bersih Mandeep Singh Karpall Singh, anggota DAP Ronnie Liu Tian Khiew, anggota DAP Wong Chee Wai @Jimmy Wong dan anggota jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvam.

Selain itu, turut dibebaskan aktivis pelajar Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, Anis Syafiqah Md Yusof, Lee Khai Meng dan Safwan Anang@Talib.

Dua aktivis Baju Merah yang dibebaskan pula ialah Hairol Nizam Md Nor dan Razali Zakaria.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan pembebasan mereka, namun enggan mengulas lanjut.

“Kesemua mereka yang ditahan pada 18 Nov (Jumaat) telah dibebaskan kecuali Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah masih belum dibebaskan,” katanya.

Seramai 20 pemimpin dan aktivis ditahan dalam tempoh dua hari sejak Jumaat lalu berhubung dengan perhimpunan haram Bersih 5 dan Baju Merah yang berlangsung di ibu kota, semalam.

Mereka yang masih ditahan ialah Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Batu Tian Chua, Pemimpin Baju Kuning Hishammuddin Rais, Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, aktivis Fahmi Reza dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.

Selain itu, masih ditahan adalah Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos, Anggota exco Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifa dan pemimpin Baju Merah Ariffin Abu Bakar@Ipin Keramat.

TAGS