14 NGO bentuk gabungan perjuang isu alam sekitar

14 NGO bentuk gabungan perjuang isu alam sekitar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebanyak 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membentuk satu badan gabungan dalam usaha menjadikannya sebagai platform untuk memperjuang dan menyuarakan isu-isu berkaitan alam sekitar di negara ini.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata badan gabungan yang dinamakan Gerakan Alam Sekitar Rakyat Malaysia (Gerak) itu turut disertai aktivis alam sekitar.

“Baru-baru ini ini kita telah mengadakan seminar bertajuk ‘Kelestarian Khazanah Alam: Punca dan Permasalahan, Perkongsian dan Penyelesaian’ selama tiga hari di Raub, Pahang dengan disertai 50 peserta daripada pelbagai NGO mengenai alam sekitar, ahli akademik dan Orang Asli.”

“Hasil seminar ini kita merasakan perlunya wujud satu badan gabungan untuk menyatukan semua NGO ini supaya kita dapat menyuarakan isu-isu berkaitan alam sekitar dengan nada yang sama dan lebih tegas seterusnya mencari jalan penyelesaian bersama,” katanya kepada Bernama di Kuantan, hari ini.

Menurutnya badan gabungan itu akan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam tempoh terdekat dan ia dijangka disertai lebih banyak lagi NGO alam sekitar dari semasa ke semasa.

Antara NGO yang telah mendaftar menyertai Gerak setakat ini ialah Peka, Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Himpunan Hijau, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Persatuan Kelip-Kelip(Kecap), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan Jaringan Kampung Orang Asli Pahang.

Sementara itu, Prof Dr Maketab Mohamed yang dilantik menjadi pengerusi Gerak berkata penubuhan badan gabungan itu bertujuan membantu menyelesaikan dan menyuarakan kepada kerajaan masalah berkaitan alam sekitar seperti isu perlombongan, pembalakan tanpa kawalan dan pencemaran sungai.

“Penubuhan Gerak bukanlah untuk menentang kerajaan atau mana-mana pihak, tetapi kita menentang sebarang perlakuan memusnahkan alam sekitar kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan terutama kepada generasi akan datang.

“Malah kita juga bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri untuk menyelesaikan apa-apa isu berkaitan alam sekitar termasuk memberi laporan akademik tentang impak kemusnahan,” katanya.

TAGS