15 sudah meninggal akibat denggi di Terengganu tahun ini

15 sudah meninggal akibat denggi di Terengganu tahun ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seorang wanita berusia 34 tahun dari Kampung Seberang Kastam, Besut, maut akibat denggi semalam, menjadikan jumlah 15 kematian dilaporkan di Terengganu, sejak Januari lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata mangsa terbaru itu meninggal dunia pada pukul 4 pagi semalam di Hospital Sultanah Nor Zahirah di sini selepas dirujuk dari Hospital Besut pada 30 Ogos lepas.

“Mangsa dilaporkan deman selama empat hari di rumahnya dan apabila keadaan semakin teruk, mangsa dihantar ke Hospital Besut dan meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ,” katanya kepada pemberita selepas perasmian program gegar 10,000 langkah merdeka peringkat negeri Terengganu di sini hari ini, lapor Sinar Harian semalam.

Setakat ini, katanya terdapat enam lokaliti wabak di Terengganu iaitu lima di Kuala Terengganu dan satu di Marang.

Dari jumlah itu, Kampung Tok Kaya mencatat kes tertinggi iaitu 15 kes diikuti Taman Teratai (10), Padang Negara (enam), Kampung Nibong Bukit Besar (lima) dan Kampung Banggol Peradong (dua) manakala lokaliti wabak di Marang iaitu Kampung Durian Pahit mencatat empat kes.

“Kedudukan rumah kampung ini kebiasaannya terlalu rapat dan menimbulkan kesukaran untuk lori memungut sampah memasuki kawasan kampung ini untuk memungut sampah,” katanya.

TAGS