15 suspek IS di tahan di tujuh negeri

15 suspek IS di tahan di tujuh negeri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seramai 15 suspek disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Islamic State (IS) ditahan dalam operasi yang dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis di tujuh negeri antara 22 hingga 24 Mac 2016.

Kesemua suspek merupakan warganegara Malaysia yang terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun ditahan kerana mengumpul dana untuk disalurkan kepada salah sebuah kumpulan pengganas gabungan IS di selatan Filipina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan dipetik berkata, lima suspek adalah pekerja swasta, empat bekerja sendiri, seorang anggota polis, imam masjid (1) suri rumah (1) seorang pelajar dan dua penganggur.

“Antara aktiviti yang dikesan melibatkan kesemua suspek ialah mereka cuba mendapatkan bahan kimia untuk membuat bom, mengumpul dana dalam kalangan penyokong IS di sini untuk disalurkan kepada warga Malaysia yang sertai kumpulan IS di Syria.

“Malah, mereka turut terlibat dalam aktiviti menggodam beberapa laman web milik kerajaan Malaysia selain menjalin hubungan kerja dengan kumpulan pengganas di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, kesemua suspek berkenaan juga didakwa mendapat arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi (anggota IS Malaysia di Syria) untuk melancarkan serangan di negara ini.

Justeru pihak polis juga mendapati mereka terlibat dalam aktiviti merekrut dan menghantar rakyat Malaysia untuk menyertai kumpulan IS di Syria

“Manakala empat wanita yang ditahan itu telah merancang untuk menyusup keluar dari negara ini bagi menyertai kumpulan IS di Syria

“Kesemua mereka kini ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Prosedur dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” tegas beliau.

TAGS