198 laporan dibuat, polis jamin keselamatan  peserta konvoi di Negeri Sembilan

198 laporan dibuat, polis jamin keselamatan peserta konvoi di Negeri Sembilan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Polis Negeri Sembilan  menerima 198 laporan daripada individu dan kumpulan yang membantah konvoi Bersih 5.0 selama lapan hari yang dijadualkan bermula Sabtu ini, namun keselamatan peserta komvoi  tetap dijamin oleh pasukan keselamatan.

Ketua Polis Negeri Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata konvoi berkenaan dijadualkan menjelajah lapan daerah di negeri itu dengan daerah Tampin sebagai permulaaan dan berakhir di Nilai pada 12 November ini.

Beliau berkata notis permohonan untuk mengadakan konvoi Bersih 5.0 telah diterima pada 26 Oktober lalu, iaitu 10 hari sebelum konvoi diadakan, daripada penganjur.

“Polis telah menerima semua permohonan ini…jadi kita lihat kepada tempat yang nak dilalui dan di mana ceramah akan dibuat…kita telah pun memberi syarat kepada penganjur.

“Kita bersedia dengan kekuatan yang ada di Negeri Sembilan dan telah berbincang dengan semua penganjur. Kita telah beri peringatan dan syaratnya supaya jangan langgar peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya kepada media selepas merasmikan Unit Rondaan Berkuda Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Dataran Teluk Kemang.

Semalam, sekumpulan 25 individu membuat laporan polis bagi membantah konvoi Bersih 5.0 yang dijadual diadakan di Mantin, Nilai pada 12 November depan.

Ditanya sama ada terdapat sebarang permohonan daripada penganjur yang ditolak polis, Jaafar berkata setakat ini tiada permohonan yang ditolak.

“Saya percaya penganjur akan mengambil perhatian perkara ini dan insya-Allah konvoi ini tidak menimbulkan apa-apa masalah.

“Semua syarat yang diberi perlu dipatuhi, (dan) kalau tak patuhi, tindakan akan diambil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah pun mengadakan perbincangan dengan kesemua lapan ketua polis daerah bagi tujuan penyelarasan persiapan dan tindakan sekiranya timbul perkara yang tidak diingini.

TAGS