1MDB digesa buat tuntutan aset yang disita Jabatan Kehakiman AS

1MDB digesa buat tuntutan aset yang disita Jabatan Kehakiman AS

Syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digesa agar bertindak untuk menuntut aset-aset yang akan disita dalam saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

1MDB perlu bertindak tetapi Zainur Zakaria yakin mereka tidak akan bertindak kerana ia akan bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini.Syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digesa agar bertindak untuk menuntut aset-aset yang akan disita dalam saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Peguam Zainur Zakaria berkata, sekiranya pengurusan 1MDB tidak berbuat demikian semua aset yang dirampas dan disita itu akan menjadi milik AS.

“1MDB perlu tuntut sebab aset seperti lukisan, jet, kapal mewah, hartanah telah dibeli oleh penyamun dengan duit 1MDB.

“Apa yang kita tidak faham MO1 (Malaysian Official 1) kata 1MDB tidak terlibat, ada pegawai dan ahli lembaga pula kata, 1MDB tiada aset di Amerika Syarikat.

“Memanglah tiada aset bukannya 1MDB yang beli.Yang beli aset ini adalah penyamun, penyamun yang beli guna duit yang dicuri daripada 1MDB, maka 1MDB paling berhak menuntut aset-aset itu,” ujar bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia itu.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab dalam Wacana Harapan: 1MDB Ke Mana Hujungnya? di Rumah Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi. Forum ini dianjurkan oleh akhbar mingguan Amanah.

Mengikut Inisiatif Penyitaan Aset Kleptokrasi AS, sebarang aset atau dana yang telah disita akan dikembalikan kepada entiti atau kerajaan yang menjadi mangsa perlakuan jenayah itu.

1MDB secara konsisten menyatakan tiada wang yang dicuri dan mereka dapat memperincikan setiap pelaburan atau pindahan wang.

Namun DoJ tetap memfailkan saman sivil kononnya bagi mendapatkan kembali ‘wang yang dicuri’ biarpun ‘mangsa’ (1MDB) sudah menjelaskan tiada wang yang dicuri.

“Kita desak 1MDB tuntut aset-aset ini kerana dibeli guna wang 1MDB. Itulah apa yang akan berlaku.

“Jika mahkamah membenarkan aset disita, DoJ akan mengembalikan aset terbabit kepada pihak yang dipercayai pemilik asal iaitu 1MDB sekiranya ada tuntutan.

“Maka ini akan menguntungkan 1MDB kerana aset-aset itu akan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia jika betul dakwaan DoJ itu,” ujarnya.

Zainur berkata, tindakan yang dilakukan oleh bekas naib presiden Pas Datuk Husam Musa dan bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang untuk menamakan lapan individu dan syarikat di AS kerana mencuri wang negara melalui 1MDB adalah berasas, untuk mengembalikan aset-aset itu kepada rakyat negara ini.

“Jika Husam dan Matthias tidak buat tuntutan saman itu,aset akan dirampas dan jadi milik kerajaan AS,” terangnya yang juga menjadi peguam kepada Husam dan Mathias di Malaysia.

Pada 15 Ogos lalu Husam dan Matthias mengakui telah menyaman lapan individu dan syarikat di AS kerana dipercayai mencuri’ wang negara melalui 1MDB.

Individu dan syarikat yang dinamakan Husam dan Matthias adalah Riza Shahriz bin Abdul Aziz, Low Taek Jho, Golman Sachs Group Inc, Timothy Leissner, Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson, Metropolis 1X Capital Advisors.

Terang Zainur lagi, tujuan DoJ merampas dan menyita aset-aset itu melalui saman sivil  untuk menghalang pelaku jenayah daripada menjual atau melupuskan aset sebelum tindakan undang-undang diambil.

TAGS