1MDB gesa Rafizi tidak campuri siasatan PAC

1MDB gesa Rafizi tidak campuri siasatan PAC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah meminta Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli supaya menghentikan campur tangan dalam proses siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat itu.

Dalam kenyataan malam ini, 1MDB berkata ia difahamkan bahawa Rafizi telah membuat laporan polis terhadap pengurusan kanan 1MDB.

“1MDB mengesahkan bahawa pasukan pengurusan kanan akan bekerjsama sepenuhnya dengan mana-mana siasatan yang difikirkan wajar oleh pihak polis.

“Rafizi mendakwa bahawa beliau telah mendedahkan kepada umum maklumat sulit berkaitan dengan perkara tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sekiranya apa yang dilakukan oleh Rafizi adalah benar, maka ini secara jelas melanggar undang-undang…sekurang-kurangnya mengejutkan dan lebih teruk datang daripada seorang Ahli Parlimen,” menurut kenyataan itu.

Ia menyebut: Dakwaan Rafizi untuk membuat pendedahan merupakan sebahagian daripada siasatan PAC, sebuah jawatankuasa di bawah Parlimen dengan dianggotai lapan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan lima anggota pembangkang.

“Tidak ada keperluan untuk Rafizi mensensasikan apa yang sudah disiasat dan tidak kurang juga secara jelas melanggar undang-undang dengan berbuat demikian.

Syarikat dana pelaburan milik kerajaan itu berkata mereka sentiasa berpendirian secara konsisten bahawa jika terdapat sebarang salah laku, maka tindakan perlu diambil mengikut undang-undang.

Kenyataan 1MDB itu adalah susulan laporan polis oleh Rafizi terhadap pasukan pengurusan kanan syarikat itu supaya satu siasatan dibuka untuk memastikan tidak berlaku sebarang pecah amanah atau apa-apa pelanggaran undang-undaqng apabila sejumlah RM288 juta dana 1MDB digunakan bagi tujuan membayar faedah pinjaman 1MDB tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada lembaga pengarahnya.

TAGS