1MDB nafi China terlibat pertikaian pembayaran dengan IPIC

1MDB nafi China terlibat pertikaian pembayaran dengan IPIC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

1Malaysia Development Bhd (1MDB) menafikan penglibatan China dalam pertikaian pembayaran dengan firma berpangkalan di Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

Pengerusi 1MDB Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata beliau tidak pernah dihubungi mengenai bantuan China dalam pembayaran berkenaan.

“Tiada siapa yang bercakap dengan saya. Tiada siapa yang bercakap dengan pihak China,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Komuniti Keusahawanan Global 2016 hari ini.

Semalam, sebuah penerbitan kewangan melaporkan China akan membantu 1MDB dalam membuat bayaran balik kepada IPIC, yang melibatkan pertikaian US$6.5 bilion antara 1MDB dan dana milik kerajaan Abu Dhabi itu.

Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar AbdullahSementara itu, semasa ditemui pada majlis Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) di sini kemudiannya, Irwan ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung timbang tara yang difailkan oleh IPIC terhadap 1MDB di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

“Setakat ini, masih berjalan. Namun, kita sedang menunggu, kita lihatlah apa yang akan berlaku.

“Belum ada keputusan, tiada keputusan disebut lagi,” katanya.

Beliau juga berkata seorang juruaudit akan dilantik tidak lama lagi bagi dana milik negara itu.

Pada majlis itu, Irwan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara MAVCAP bersama-sama dengan Gobi Partners, firma modal teroka terkemuka dari China, dan Elixir Capital, pengurus dana berpangkalan di Silicon Valley .

Perkongsian dengan Gobi adalah bagi penubuhan Dana Pertumbuhan ASEAN yang menyasarkan sehingga US$200 juta, manakala dengan Elixir, bagi penubuhan dana Ekonomi Islam Global sehingga US$250 juta. (US$1 = RM4.42)

TAGS