1MDB: Peguam Negara masih siasat, sudah arah polis

1MDB: Peguam Negara masih siasat, sudah arah polis

Siasatan lanjut berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mendapat arahan daripada Peguam Negara pada 24 Oktober lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah tidak menyiasat kes tersebut.

“Buat masa ini, seperti yang kita sedia maklum pihak Peguam Negara sudah mengarahkan pihak polis atas arahan 24 Oktober termasuk perkara yang dibangkitkan oleh Permatang Pauh tentang laporan Bank Negara.

“Semua ini, buat masa ini masih dalam siasatan oleh pihak Peguam Negara yang telah memberikan arahan kepada pihak polis pada 24 Oktober lalu,” ujarnya.

Beliau menjawab soalan Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) di Dewan Rakyat semalam yang bertanya tentang status siasatan penyelewengan dana berkaitan 1MDB.

“Saya mahu beritahu memang jawapan terakhir pihak Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk membuat siasatan tambahan kepada perkara-perkara yang dminta oleh Peguam Negara,” jelas Razali lagi yang juga Ahli Parlimen Muar.

Menurut Shamsul, hasil laporan siasatan membabitkan syarikat milik Kementerian Kewangan itu perlu dikemukakan secara komprehensif kepada rakyat sesuai dengan keputusan Majlis Raja-raja pada 2015.

“Kenapa SPRM menamatkan dan menutup siasatan ini (1MDB), walhal banyak negara lain sudah membuat siasatan?” soalnya lagi.

Pihak polis menyiasat 1MDB mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah pecah amanah dan Sekseyn 420 kanun sama kerana menipu.

Siasatan kes 1MDB dilakukan pihak Bank Negara, PDRM dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang terdiri daripada sembilan anggota parlimen BN dan lima dari pembangkang.

Bagaimanapun, laporan PAC yang dibentang di Parlimen pada 7 April tahun lalu menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat secara langsung dalam isu 1MDB sekali gus tidak pernah melakukan sebarang salah laku.

Sebaliknya, laporan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu mengesyorkan pihak berkuasa menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan.

“PAC mengakui bahawa syarikat 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus yang dijelaskan dengan terperinci dalam laporan ini.

“PAC juga mendapati bahawa struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang,” dipetik dari kenyataan Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin merangkap Ahli Parlimen Rompin pada 7 April 2016.

8.0
OVERALL SCORE
: 6.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS