1MDB perlu bayar hutang IPIC pada 31 Ogos

1MDB perlu bayar hutang IPIC pada 31 Ogos

Abu Dhabi memberi tempoh lanjutan kepada 1MDB untuk membayar hutang bernilai AS$603 juta yang sepatutnya dijelaskan hari ini, lapor sebuah agensi berita antarabangsa.

Memetik sumber yang dekat dengan perkembangan itu di Abu Dhabi, Reuters melaporkan 1MDB diberi tempoh sehingga 31 Ogos untuk melunaskan tanggungjawab berkenaan.

Mengikut perjanjian dicapai dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) pada April lalu, 1MDB bersetuju membayar AS$1.2 bilion kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu melalui dua peringkat.

Bayaran pertama – kira-kira AS$600 juta – perlu dibayar pada 31 Julai lalu.

Bagaimanapun 1MDB gagal memenuhi komitmen itu, namun IPIC memberikan tempoh tambahan lima hari lagi kepada syarikat pelaburan kerajaan Malaysia itu.

Pengumuman mengenai lanjutan tempoh itu dijangka akan dibuat lewat hari ini kata sumber berkenaan.

Ketika dihubungi Reuters syarikat Mubadala – yang bergabung dengan IPIC awal tahun ini – enggan memberi sebarang komen.

Sementara itu Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang dipetik Bernama berkata 1MDB sedang berunding untuk mendapatkan lanjutan tempoh bayaran balik hutang berkenaan.

Bagaimanapun akhbar Straits Times Singapura melaporkan, permohonan itu sudah diberikan kepada 1MDB.

“Apabila tiba masanya nanti kami akan membuat bayaran. Kami akan menandatangani perjanjian lanjutan tempoh dengan mereka,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

TAGS