1MDB: Wanita Muda Amanah sokong MP mohon campur tangan Agong

1MDB: Wanita Muda Amanah sokong MP mohon campur tangan Agong

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Wanita Muda Amanah Nasional menyokong tindakan konsisten kesemua ahli parlimen Amanah memohon campur tangan Yang Di-Pertuan Agong berhubung skandal 1MDB yang mencemarkan imej negara.

Ketua protem Wanita Muda Amanah, Anis Afida Mohd Azli berkata, tindakan ini seharusnya didukung oleh ahli parlimen yang lain tanpa mengira parti politik dengan melihat faktor kebersamaan dalam menyelamatkan duit negara.

“Wanita Muda merasakan perlu lebih banyak pihak yang mendesak tindakan agresif daripada kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan isu ini seperti yang dititahkan dalam Majlis Raja-raja sebelum ini.

“Wanita Muda uga memohon agar perkara ini dibangkitkan semula ke dalam mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan bersidang pada bulan Oktober ini bagi menyelamatkan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa skandal 1MDB ini antara banyak siri kegagalan urus tadbir negara yang berlaku dibawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

“Cukup!Ia perlu dihentikan segera dan Wanita Muda akan terus menyokong usaha mana-mana pihak yang mahu ia diselesaikan kerana perkara ini membabitkan masa depan negara yang menjadi warisan kepada generasi muda pada hari ini,” katanya yang pernah menjadi calon Pas di Dun Bandar Penawar pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Beliau turut menegaskan, anak muda khususnya mahasiswa mengharapakan kestabilan ekonomi dalam negara dan pemimpin yang mampu mengurus kewangan negara dengan telus.

“Sering orang bertanya, apa anak muda hari ini mahu?

“Sekali lagi saya tegaskan, anak muda mahu masa depan negara yang boleh menjamin kestabilan ekonomi semua lapisan rakyat sehingga tidak perlu mengemis di negara jiran untuk mencari sesuap nasi,” katanya.

Ahli Parlimen dari Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi memohon perkenan baginda berhubung tindakan saman Datuk Husam Musa dan Matthias Chang di Amerika Syarikat (AS) bagi menuntut semula wang yang dicuri melalui 1MDB.

Mereka yang diwakili ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memohon isu berkaitan 1MDB dibawa ke mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan berlangsung pada Oktober ini.

TAGS