200 golongan muda masyarakat Siam sertai Amanah Kedah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penyerahan lebih 200 borang keahlian Parti Amanah Negara (Amanah) dari orang bukan Islam termasuk masyarakat Siam di Kedah membuktikan sifat inklusif parti baharu ini diterima umum.

Dalam program Jelajah Treler bersama presiden Amanah dan pemimpin Pakatan Harapan di Jitra malam tadi, wakil kaum Siam, Cina dan India menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Menurut pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh, pihaknya menerima sebanyak 527 borang keahlian Amanah daripada 22 cawangannya di Kubang Pasu semalam, majoritinya ialah orang muda.

“Majoriti ahli yang serah borang Amanah ini adalah anak-anak muda. Kalau banding di Pokok Sena dulu kita sebut ‘harum manis’ yang gugur tapi kali ini harum manis tak banyak sangat tapi yang ramai anak muda.

“Ahli yang nak masuk Amanah ini berlumba-lumba. Kalau kita rajin dekati mereka lebih-lebih lagi anak muda yang fikiran mereka bersih lagi, lagi ramai yang berminat nak bersama kita,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, pendekatan Amanah Kedah yang turun ke setiap kawasan bagi memberikan penerangan membuatkan ramai yang berminat untuk menyertai parti yang ditubuhkan pada September tahun ini.

Malah katanya, Kedah merupakan negeri yang paling cepat dalam mengumpul ahli di setiap kawasan termasuklah satu cawangan masyarakat Siam dan satu cawangan masyarakat India.

“Pendekatan awal kita perkenalkan Amanah. Bila kita perkenal kita turun ke bawah dengan berjumpa mereka, bagi risalah jadi kita jumpa masyarakat Siam dan India dan kalau kita beri penerangan yang betul tak ada alasan untuk orang tidak bersama dengan Amanah.

“Semua kawasan sudah ada Amanah. Kedah paling awal ada komuniti Amanah dan hampir setiap kawasan ada pejabat sendiri,” katanya.

Beliau juga berkata, walaupun program jelajah treler ini diadakan pada hari bekerja namun ia tetap menerima kehadiran yang ramai.

“Malam tadi kehadiran lebih 2,000 orang. Walaupun pada hari bekerja saya tak nampak ada halangan untuk mereka datang. Mungkin sebab mereka nak maklumat,” katanya.

Pada sebelah siangnya, pelbagai program bersama masyarakat diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma dan pemberian bantuan kembali ke sekolah.

Jelajah ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan akan berakhir esok.

TAGS