2017 tahun bebanan, kenaikan harga barang, ramal Pas Sarawak

2017 tahun bebanan, kenaikan harga barang, ramal Pas Sarawak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rakyat Malaysia menyambut tahun 2017 dengan kenaikan harga beberapa barang keperluan seperti kenaikan harga petrol, tayar, harga barangan keperluan sekolah terutama pakaian dan lain-lain barang keperluan harian, kata Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee.

Jika sebelum ini ibu bapa memperuntukkan sekitar RM100 hingga RM150 bagi seorang anak namun pada tahun ini mereka perlu menyediakan lebih RM200 untuk membeli pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis, kata beliau berasaskan satu laporan.

Bagi beliau,kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga minyak yang dijangka pada tahun 2017 ini sudah pasti akan memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah ini sekiranya tiada kawalan dan pemantauan yang menyeluruh terhadap kenaikan barang keperluan ini dan sudah pasti akan membebankan rakyat yang kurang berkemampuan dan yang berpendapatan rendah,” soalnya.

Katanya, kesan dari kenaikan harga barang keperluan ini memang beban bagi rakyat kerana mereka terpaksa membelanja lebih dari tahun sebelumnya.

Pada ketika ini, ramai yang terpaksa berhenti kerja akibat dari pembuangan pekerja dan kesan dari krisis ekonomi dunia yang merundum menyebabkan kehidupan rakyat semakin terdesak dan terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan.

GST juga perlu dimansuhkan dan subsidi petrol untuk kenderaan yang menggunakan RON95 dan diesel perlu dikembalikan semula. Pengangkutan awam seperti taxi, bas, lori yang membawa barang keperluan perlu dikawal sepenuhnya agar mereka tidak menaikkan harga tambang apabila kerajaan memberi subsidi untuk pengangkutan awam.

“Kita mengesa agar pihak kerajaan dapat mengurangkan bebanan rakyat dengan memansuhkan GST dan hanya mengenakan cukai keatas barang mewah dan subsidi dikembalikan semula untuk mengurangkan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Beliau juga berharap pihak kerajaan memberi perhatian yang sewajarnya terhadap masalah yang membebankan rakyat ini agar kehidupan rakyat pada 2017 ini tidak seteruk seperti tahun sebelumnya.

TAGS