226 calon berumur antara 23 hingga 73 bertarung di pilihan raya negeri Sarawak

226 calon berumur antara 23 hingga 73 bertarung di pilihan raya negeri Sarawak

Suruhanjaya Pilihan Raya menamatkan proses penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak semalam yang berlangsung selama sejam bermula 9 pagi, menerima sebanyak 230 kertas pencalonan namun, dua calon menang tanpa bertanding dan kertas pencalonan bagi dua calon lain ditolak.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Pilihan Raya menamatkan proses penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak semalam yang berlangsung selama sejam bermula 9 pagi, menerima sebanyak 230 kertas pencalonan namun, dua calon menang tanpa bertanding dan kertas pencalonan bagi dua calon lain ditolak.

Calon yang termuda bertanding dalam pilihan raya kali ini ialah Leslie Ting Xiang Zhi, 25, yang bertanding di Stakan mewakili DAP manakala calon tertua ialah Datuk Seri Wong Soon Koh berusia 73 tahun yang mewakili BN bertanding di Bawang Assan.

Bercakap pada sidang media di Pejabat SPR Sarawak di sini, hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, kertas pencalonan calon PKR bagi Dun Pantai Damai dan calon Bebas di Kuala Rajang ditolak kerana kedua-duanya didapati tidak layak bertanding.

Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Industri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang juga Naib Presiden Kanan PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi Dun Bukit Sari.

Manakala Datuk Abdul Rahman Ismail juga dari PBB menang tanpa bertanding untuk kekal menyandang kerusi Dun Bukit Kota.

Menurutnya, BN akan bertanding di 80 Dun, PKR (40 Dun), DAP (31 Dun), Parti Amanah Negara (13 Dun), PAS (11 Dun), STAR (11 Dun), PBDS Baru (5 Dun) selain 35 calon Bebas turut bertanding.

Bilangan calon lelaki turut mengatasi calon wanita dengan masing-masing 204 orang dan 22 orang.

Dalam pada itu, sebanyak lima Dun akan menghadapi pertandingan lima penjuru iaitu di Batu Kitang melibatkan calon BN, DAP, PKR dan dua calon Bebas; Bukit Semuja (BN, DAP, PBDSB, Star dan Bebas); Dudong (BN, DAP, Star dan dua calon Bebas); Bawang Assan (BN, DAP, Star dan dua calon Bebas); dan Jepak (BN, Pas, PKR, Star dan calon Bebas).

Sebanyak 12 kawasan akan menghadapi pertandingan empat penjuru, 27 kawasan pertandingan tiga penjuru, 36 kawasan pertandingan satu lawan satu, katanya.

Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang mempertahankan kerusi Tanjung Datu akan ditentang calon PKR Jazolkipli Numan.

Ditanya mengenai anggaran penjimatan perbelanjaan SPR bagi PRN11 memandangkan dua kawasan tidak dipertandingkan kerana calon menang tanpa bertanding, Mohd Hashim berkata pihaknya tidak dapat membuat anggaran itu buat masa ini.

SPR memperuntukkan RM135.6 juta bagi mengendalikan PRN11. Terdapat 1.13 juta pengundi pada pilihan raya negeri kali ini.

Sementara itu, SPR menjangka keputusan awal PRN11 pada 7 Mei ini dapat diperoleh mulai 6 petang dan keputusan penuh pada 11 malam.

Beliau berkata SPR melantik 62 pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan untuk memantau pilihan raya itu.

Bagi memudahkan urusan pengundian, pemilih berdaftar boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui panggilan ke ibu pejabat SPR Putrajaya atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, sistem khidmat pesanan ringkas atau melalui laman sesawang SPR www.spr.gov.my

TAGS