22 pelajar, 2 warden maut dalam kebakaran awal pagi di Pusat Tahfiz

22 pelajar, 2 warden maut dalam kebakaran awal pagi di Pusat Tahfiz

Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, dalam kejadian itu, enam pelajar dan seorang orang awam cedera.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.41 pagi.

Video awam menunjukkan tingkat paling atas di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu masih terbakar ketika azan subuh berkumandang.

Bomba berkata, 20 mangsa dilaporkan cedera manakala tiga kritikal. Mereka kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Polis menutup laluan di Jalan Keramat Hujung, yang menghubungkan Jalan Pasar Keramat ke Bukit Pawang, susulan kejadian berkenaan.

 Jeritan kedengaran di awal pagi, kata saksi

“Panas…panas…abang tolong panas!” Jeritan pelajar tahfiz itu terngiang-ngiang di ingatan Shahirman Sharil yang menyaksikan sendiri kebakaran di pusat tahfiz di Jalan Keramat Ujung, awal pagi ini.

Bernama melaporkan Shahirman, 39, yang tinggal berhampiran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, berkata beliau mendengar jeritan para pelajar pusat tahfiz itu kira-kira 5 pagi.

“Saya melihat keadaan di luar masih gelap kecuali api yang marak di tingkat tiga pusat tahfiz berkenaan. Saya bersama penduduk lain cuba membantu mengeluarkan mereka,” katanya.

Menurut Shahriman, beliau dan jiran-jiran kemudiannya mengarahkan beberapa pelajar terjun dari tingkat tiga.

“Kami cuba menyambut mereka, ada yang melecur. Kami cuba bantu apa yang perlu sebelum menunggu ketibaan bomba untuk memadam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan,” katanya.

Ibu mangsa redha kematian anak

“Kali terakhir kami bersama adalah pada Aidiladha yang lepas,” luah ibu kepada Muhammad Zattullah Roslan, 11, mangsa yang maut dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung awal pagi ini.

Kamizan Yusof, 48, berkata beliau mendapat maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang rakannya yang tinggal berhampiran pusat tahfiz berkenaan.

“Saya terima panggilan kira-kira 7 pagi tadi yang meminta saya datang segera kerana pusat tahfiz anak saya belajar terbakar. Waktu itu saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja.

“Pada masa itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa cemas dan sedihnya memikirkan nasib adik (Muhammad Zattullah) dan rakan-rakannya,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian beliau dimaklumkan anaknya merupakan seorang daripada mangsa yang tidak dapat diselamatkan.

“Adik adalah anak bongsu daripada dua beradik. Dia sangat manja dengan kami. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun kehilangannya amat dirasai,” katanya hiba.

 

CATEGORIES