Warden, pelajar mati terperangkap dalam bangunan berjeriji besi

Warden, pelajar mati terperangkap dalam bangunan berjeriji besi

Sejumlah 22 pelajar dan 2 warden dilaporkan meninggal dalam kebakaran di pusat tahfiz di Keramat pagi tadi dipercayai kerana terperangkap pada sudut bangunan selepas tidak dapat keluar kerana jeriji besi pada semua tingkapnya.

Menurut siasatan awal bomba, mereka menjumpai mayat-mayat yang dah rentung bertindihan pada sudut-sudut bangunan di tingkat tiga bangunan itu.

“Mereka terperangkap dalam bangunan. Bangunan ini di kelilingi jeriji besi yang tidak boleh dibuka dari dalam.

“Pelajar bila sedar ada asap dan kebakaran, mereka nak keluar melalui tingkap-tingkap. Sebab itu pelajar-pelajar ini berada di tepi-tepi tingkap bangunan ini untuk cuba keluar.

“Tetapi malangnya disebabkan jeriji mereka tidak dapat keluar.

“Yang dapat keluar adalah dari pintu dan pertolongan dari jabatan bomba,” kata Datuk Soiman Jahid, timbalan pengarah Bomba Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila bomba sampai tingkat 3, mereka jumpa beberapa mangsa berkumpul di tiga sudut berlainan.

“Satu di penjuru kanan 13 orang bertindih-tindih yang telah agak hangus, satu berhadapan pintu tangga utama dan lapan lagi berada di hujung sudut sebelah kiri.

“Berdasarkan pemerhatian saya, kesemua mangsa ini meninggal dunia keadaan yang rentung,” katanya.

Pusat Tahfiz Ittifaqiyah 2 Azmin

Bomba mendapat panggilan pertama pada 5.41 pagi.

Petugas Balai Bomba Keramat telah sampai 10 minit kemudian iaitu 5.52 pagi.

“Sesampainya jentera bomba pertama di tempat kejadian, api telah marak kira-kira 80-90% bangunan asrama dan tahfiz telah terbakar.

“Apabila pasukan sampai, terdapat jeritan dari pelajar-pelajar yang meminta tolong bagi menyelamatkan diri dari dalam bangunan.

“Pasukan pertama dari Keramat telah berjaya menyelamatkan lima pelajar dari tempat terbakar dan di bawa ke bawah,” kata Soiman dalam sidang medianya.

Keseluruhan operasi tamat 8 pagi tadi di mana kira-kira 50 anggota terlibat.

Sehingga kini semua mangsa yang meninggal dan cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan bedah siasat.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pihak sekolah, jumlah 22 kanak-kanak yang meninggal, dua dewasa adalah guru dan lima selamat adalah jumlah keseluruhan bilangan pelajar dan guru di situ.

Beliau juga memaklumkan, sekolah ini baru mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan dari pihak bomba.

“Kita masih belum semak lagi,” katanya.

Pusat Tahfiz Ittifaqiyah 4 Wan Azizah

 

 

CATEGORIES