250,000 tandatangan telah dikumpul, sasar sejuta untuk bawa ke Istana Mei depan

250,000 tandatangan telah dikumpul, sasar sejuta untuk bawa ke Istana Mei depan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lebih 250,000 tandatangan Deklarasi Rakyat berjaya dikumpul oleh Gerakan Selamatkan Malaysia sehingga kini dalam usaha mendapatkan angka 1 juta seperti disasarkan semasa pelancaran, kata Ketua Sekretariat Selamatkan Malaysia Datuk Kamarudin Jaffar.

“Gerakan Selamatkan Malaysia akan menyerahkan sejumlah tandatangan rakyat Malaysia kepada Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 11 hingga 12 Mei ini.

Bagi tujuan tersebut, gerakan itu sedang giat mengumpul tandatangan rakyat melalui pelbagai cara khususnya melalui program-program yang diatur ke seluruh negara,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Menurut beliau, setakat ini sekretariat berjaya mengumpulkan lebih 250,000 tandatangan sejak Deklarasi Rakyat dilancarkan pada 4 Mac lalu.

“Deklarasi rakyat yang dilancarkan  telah mendapat dokongan hangat rakyat Malaysia dari seluruh pelosok negara. Lebih 250,000 rakyat telah
menandatangani deklarasi ini sebagai tanda sokongan mereka,” kata beliau.

Beliau juga memaklumlan siri jelajah Selamatkan Malaysia yang akan dihadiri oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan bermula di Johor
pada 29 April ini dan akan berakhir di Terengganu pada 3 Jun depan.

Gerakan Selamatkan Malaysia akan ke Kedah pada 1 Mei, Kelantan 4 Mei, Perak 6 Mei, Pulau Pinang 8 Mei, Selangor 14 Mei, Melaka 18 Mei dan Sabah 22 Mei.

“Tun Dr Mahathir akan turun ke setiap lokasi yang kita tetapkan ini,” katanya lagi.

Beliau juga yakin Majlis Raja-raja akan menerima dan mendengar suara rakyat yang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak disingkirkan melalui saluran yang aman dan mengikut undang-undang.

Selain itu Deklarasi Rakyat turut menuntut penyingkiran semua yang bersekongkol dengan Najib dan pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baharu
yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih.

“Kita juga mahu pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan seperti Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara dan
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” katanya.

Justeru beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menandatangani Deklarasi Rakyat bagi menyelamatkan negara ini.

Borang Deklarasi Rakyat boleh didapati dengan melawat laman web www.savemalaysia.my.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menuntut perubahan agar Malaysia dapat dilihat semula sebagai negara yang berintegriti, berprinsip
tinggi, berkredibiliti dan berdemokrasi,” katanya.

Deklarasi Rakyat dilancarkan oleh Tun Mahathir pada 4 Mac lepas dengan 45 tokoh ternama negara menandatanganinya di hadapan para wartawan. Mereka
termasuklah bekas pemimpin Umno, pemimpin PKR, DAP dan Amanah dari Pakatan Harapan, pemimpin Pas dan pertubuhan bukan kerajaan.

TAGS