3,954 pendeposit Tabung Haji tutup akaun, kata timbalan menteri

3,954 pendeposit Tabung Haji tutup akaun, kata timbalan menteri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ekoran dakwaan skandal yang dihadapi Tabung Haji selepas pembelian tanah dari 1MDB dan juga surat dari Bank Negara tentang kedudukan tabung kewangan umat Islam itu, 3,954 pendepositnya telah telah menutup akaun mereka.

Seramai 3,105 orang lagi pula telah membatalkan pendaftaran mereka untuk pergi menunaikan haji melaluinya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ashraf Wajdi Dasuki kepada Dewan Negara semalam.

Bagi Ashraf, perkara ini berlaku kerana fitnah yang tidak betul oleh pembangkang terhadap Tabung Haji.

Mei tahun lepas, Tabung Haji mengaku telah membeli sebidang tanah di Tun Razak Xchange (TRX) yang dimiliki oleh syarikat milik kerajaan yang penuh dengan masalah, 1MDB dengan nilai RM188.5 juta.

Ia kemudiannya dianggap usaha untuk menyelamatkan (bailout) 1MDB yang penuh dengan hutang itu.

Selepas itu, bocor pula surat Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz kepada Tabung Haji dan Menteri di Jabatan Perdana Menteru yang melahirkan kebimbangan beliau tentang kedudukan kewangan Tabung Haji.

Menurut ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli awal Februari tahun ini, berdasarkan analisa beliau terhadap laporan kewangan Tabung Haji, kedudukan rizab Tabung Haji diunjurkan terus negatif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 iaitu dua tahun berturut-turut rizab Tabung Haji mengalami defisit.

“Ini selaras dengan peringatan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia,” kata Rafizi. Defisit rizab Tabung Haji bagi tahun kewangan 2015 diunjurkan boleh mencecah sehingga RM3.195 bilion, katanya.

Rizab yang negatif, katanya, bermakna Tabung Haji tidak berkeupayaan memulangkan semua simpanan pendeposit Tabung Haji jika ia dituntut serentak oleh pendeposit.

Bagi beliau, Tabung Haji membayar bonus melebihi keuntungan yang dijana pada tahun-tahun 2012 dan 2014.

Katanya, bonus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 (yang dibayar pada awal 2013) besar kemungkinan bermotifkan pilihanraya.

Bonus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 (yang dibayar pada awal 2015) disyaki berlatar belakangkan krisis 1MDB bila mana pihak berkuasa perlu meyakinkan rakyat bahawa masalah kewangan 1MDB tidak mempunyai kesan kepada pasaran kewangan tempatan.

“Adalah sangat penting bagi pendeposit dan rakyat tahu bahawa pengumuman bonus tahunan 5% dan bonus haji 3% (yang dibuat awal tahun ini) bukanlah bermakna kedudukan kewangan Tabung Haji adalah kukuh.

“Tambahan pula ia terlibat dalam beberapa pelaburan yang mendatangkan kerugian besar dan kebelakangan ini terlibat dengan 1MDB,” kata Rafizi.

Dalam pada itu, seorang bekas ahli lembaga pengarah Tabung Haji memberitahu, besar kemungkinan pembayaran bonus yang dibuat tahun ini dibuat selepas penjualan asetnya di luar negara.

“Tabung Haji telah membeli aset di London yang menjadi isu sedikit waktu lalu. Dengan menjual aset ini, mereka bolehlah memberi dividen tahun ini,” dakwa beliau yang tidak mahu namanya dinyatakan.  

TAGS