30 peratus ahli Amanah Baling bekas penyokong Pas

30 peratus ahli Amanah Baling bekas penyokong Pas

Kepedulian yang ditonjolkan Parti Amanah Negara (Amanah) terhadap pelbagai keluhan dan rintihan rakyat marhaen menyebabkan parti itu semakin mendapat sokongan dalam kalangan bekas ahli dan penyokong Pas khususnya di Parlimen Baling.

Menurut Naib Pengerusi 3 Amanah Negeri Kedah, Johari Abdullah (gambar atas) sehingga kini Amanah Baling berjaya mendapat sokongan lebih seribu ahli baru sehinggakan semua Pusat Daerah Mengundi mempunyai keahlian yang amat memberangsangkan.

“Lebih dari 30 peratus penyertaan ahli baru Amanah Baling merupakan bekas ahli Pas dan penyokong mereka termasuklah yang berada atas pagar.

“Sokongan berani yang mereka berikan membuktikan ramai ahli Pas semakin menyedari permainan politik yang sedang dilakar oleh pimpinan mereka bersama dengan Umno dan BN.

“Atas kesedaran inilah mereka mengambil pendekatan dengan menyertai Amanah sebagai wadah untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat yang tidak menjadi keutamaan parti lama mereka lagi, ” katanya ketika ditemui selepas program ceramah Pakatan Harapan di Simpang 3 Jerai, Baling, Kedah kelmarin.

Beliau yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kupang turut berkata, pembohongan dan janji-janji manis ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahim menjadi salah satu faktor kepada beralihnya sokongan rakyat kepada Amanah.

“Janji ahli Parlimen tersebut semasa pilihan raya umum ke-13 dulu nak wujudkan peluang pendidikan tinggi kepada penduduk Baling dengan mewujudkan UiTM masih lagi dituntut oleh mereka.

“Begitu juga dengan janji yang dibuat pada kempen pilihan raya yang lalu untuk membina Hospital Pakar Baling, masih lagi tidak menjadi kenyataan dan amat mendukacitakan pengundi dalam kawasan Baling.

“Rata-rata pesakit di Baling terpaksa mengambil masa hampir sejam maupun lebih untuk mendapat rawatan pakar di Hospital Alor Setar yang mempunyai pelbagai kemudahan pakar, tetapi pelbagai kemungkinan boleh berlaku sebelum dapat sampai ke Hospital Alor Setar,” jelasnya kesal.

Malah katanya, janji Umno-BN untuk memberi peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada generasi muda dengan membuka lebih banyak kawasan perindustrian dan kilang tidak menampakkan realiti kecuali fantasi semata-mata.

“Sejak lima tahun yang lalu, pengundi dalam kawasan Baling dijanjikan akan dapat peluang pekerjaan yang lebih banyak apabila kilang-kilang akan diwujudkan di Baling.

“Pelaburan akan dibawa masuk ke Baling bagi mengurangkan masalah pengangguguran dikalangan golongan muda terutamanya lepasan sekolah dan universiti.

“Namun begitu janji-janji ini juga tidak kesampaian sehinggalah tempoh BN untuk berkuasa semakin menguncup tidak lama lagi,” tegasnya.

Sehubungan itu tambahnya, rakyat Baling khususnya dan juga Kedah harus bangkit dan menyedari bahawa Umno-BN tidak lagi mampu untuk membawa perubahan kepada pengundi dan juga rakyat.

Oleh itu Amanah bersama-sama dengan Pakatan Harapan telah bersedia untuk membawa perubahan yang lebih besar bagi membela nasib rakyat yang tidak berjaya dilaksanakan sama ada oleh Pas mahupun Umno-BN.

“Pengundi dalam kawasan Parlimen Baling maupun negeri Kedah harus tekadkan iltizam untuk menolak Umno-BN serta parti yang bersekongkol dengan mereka tanpa ada sedikit pun perasaan prejudis terhadap Pakatan Harapan.

Dengan penuh semangat beliau berkata, mendukung dan menyokong Umno dan Pas dalam pilihan raya umum ke-14 nanti akan membawa rebah yang akan mensengsarakan nasib rakyat untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Antara pimpinan PH yang hadir pada program tersebut di Simpang 3 Jerai Baling Kedah kelmarin

Antara pimpinan Harapan yang hadir pada program majlis sambutan Aidilfitri di Simpang 3 Jerai Baling, kelmarin

TAGS