Rafizi  masih ada peluang

Rafizi masih ada peluang

Terima kasih kepada teman-teman yang mendoakan YB Rafizi Ramli di dalam kes berkaitan Akta BAFIA (mendedahkan kewangan Shahrizat Jalil dan syarikatnya) yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi.

Awal pagi, saya telah buat status mohon teman-teman untuk mendoakan agar Allah berikan pembebasan dan keringanan kepada pejuang ini.

Seramai 1K telah “Like” status dan dikongsikan oleh lebih 400 orang, ini membuktikan sokongan serta simpati yang tinggi buat beliau terutamanya di kalangan teman-teman saya.

Sudah tentu hakikatnya jutaan rakyat di negara ini mempunyai perasaan yang sama. Rakyat sedar, Rafizi bukan penjenayah dan bukan perompak seperti rejim Kleptokrasi, tetapi beliau terpaksa dedahkan sesuatu untuk rakyat buka mata terhadap apa yang berlaku.

Mahkamah pagi tadi memutuskan Rafizi dihukum penjara 30 bulan, tetapi hukuman itu ditangguhkan sementara menanti kes rayuan yang bakal difailkan oleh peguam Rafizi.

Dikhabarkan kes rayuan beliau akan mula dibacakan beberapa bulan lagi, mungkin selepas PRU14 nanti. Ertinya, Rafizi masih bersama kita sehingga PRU14, InsyaAllah.

Saya melihat ini sesuatu keringanan yg diberikan kepada Rafizi. Allah telah memakbulkan doa kita semua di mana Rafizi diberi keringanan serta kes belum putus sepenuhnya sehingga kes rayuan.

Teruskan berusaha dan berdoa agar akhirnya Rafizi bebas dari pertuduhan.Di samping berdoa, kita juga wajib berusaha membetulkan kepincangan yang berlaku. Allah berikan keringanan dan ruang ini apabila Rafizi ditangguhkan menerima hukumannya, bermakna kita pula akan diuji apakah kita mahu Rafizi terus dihukum atau kita menghukum rejim yang zalim ini?

Tiada pilihan lain kecuali menjatuhkan rejim Kleptokrasi di dalam PRU14 nanti. Percayalah, apabila jatuhnya rejim zalim ini nanti bukan sahaja Rafizi akan dapat kita bela bahkan rakyat menanti pembebasan tokoh utama dan guru kepada Rafizi iaitu DS Anwar Ibrahim akan bebas untuk menjadi PM selepas Tun M.

Maka, bersama-samalah kita bersama Tun M dan Rafizi serta seluruh kepimpinan PH untuk bekerja kuat agar rejim Kleptokrasi ini akan tumbang.

Pakatan Harapan bukan kerjanya untuk menjatuhkan pemimpin ini untuk menaikkan pemimpin itu semata-mata, tetapi kita mahu merubah sistem yang ada dan merealisasikan reformasi yang hampir 20 tahun kita laungkan.

CATEGORIES