35,381 permohonan untuk program Malaysia Rumah Keduaku diluluskan – Mohamed Nazri

35,381 permohonan untuk program Malaysia Rumah Keduaku diluluskan – Mohamed Nazri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sejak diperkenalkan pada 2002 hingga Julai 2017, sejumlah 35,381 permohonan dari 127 negara telah diluluskan untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan China mencatatkan permohonan paling ramai.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata daripada jumlah keseluruhan yang diluluskan, 8,714 atau 37 peratus daripada jumlah itu ialah pemohon dari China.

“Ini diikuti oleh 4,225 pemohon dari Jepun, Bangladesh (3,546), United Kingdom (2,412), Iran (1,336), Singapura (1,295), Taiwan (1,208), Republik Korea (1,266), Pakistan (973) dan India (890).

“Program MM2H telah melonjakkan Malaysia di tempat ke-6 pada 2017 sebagai Destinasi Terbaik Persaraan Di Dunia dan satu-satunya negara di Asia yang layak bagi kedudukan ini menurut portal dalam talian, \’International Living\’.

“Selain itu, Yayasan Longstay Jepun juga mencalonkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama untuk pelancong Jepun sejak 2006 dan Negara Terunggul di Dunia dengan Penjagaan Kesihatan Terbaik pada 2017,\” kata beliau semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Industrial and Commercial Bank of China Malaysia (ICBC) di sini, semalam.

MoU itu, yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Nor Yahati Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif ICBC Malaysia Wang Qiangi adalah untuk mempromosikan program MM2H di China.

Mohamed Nazri, yang menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian itu, berkata sebagai rakan rasmi bank, ICBC Group dapat mempromosikan program MM2H di China, terutama di Beijing, wilayah Guangdong, , Shanghai, Sichuan dan Zhejiang selain mempromosikannya di seluruh dunia.

“Melalui MoU ini, saya dengan sukacita menyatakan bahawa ICBC bersama dengan kumpulan syarikat memutuskan untuk bertindak sebagai saluran atau fasilitator antara kerajaan dan pelanggan bank untuk mempromosikan program MM2H ,\” kata beliau.

Pemohon untuk program MM2H mestilah berusia 50 tahun dan ke atas, mempunyai rekod bersih di negara asal berkaitan keselamatan dan tidak mempunyai rekod jenayah serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Program ini diperkenalkan pada 2002 untuk menarik rakyat asing datang dan tinggal di Malaysia, terutama mereka yang telah bersara atau untuk tujuan perniagaan.

CATEGORIES