500 koperasi sekolah aktif bidang runcit pada 2020

500 koperasi sekolah aktif bidang runcit pada 2020

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan sebanyak 500 koperasi sekolah terlibat secara aktif dalam bidang peruncitan bagi membantu komuniti setempat yang menghadapi masalah peningkatan kos sara hidup, pada tahun 2020.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata setakat ini, sebanyak 200 daripada 2,349 koperasi sekolah yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia terlibat dalam bidang peruncitan.

Beliau berkata koperasi berkenaan menawarkan harga barangan lebih rendah dan kompetitif berbanding pasar raya, seterusnya memberi perolehan besar kepada koperasi sekolah.

“Contohnya seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Puteri ini mempunyai 144 guru dan ia bermakna 144 keluarga. Jadi kalau mereka beli barangan keperluan harian dari koperasi ia memberikan keuntungan yang banyak.

“Belum lagi masyarakat setempat yang turut membeli barangan di koperasi sekolah ini, usaha ini selaras dengan matlamat Angkasa menjadikan 50 koperasi sekolah mencapai perolehan tahunan RM1 juta menjelang 2020,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mini Karnival Kembali ke Sekolah anjuran SMK Bandar Tasik Puteri, di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata harga barangan yang dijual di koperasi sekolah lebih rendah sehingga 50 peratus berbanding pasaran luar memandangkan kebanyakan barangan dibeli secara pukal atau dibeli terus dari kilang yang mana ia akan menjimatkan kos orang tengah.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata Mini Karnival Kembali ke Sekolah anjuran SMK Bandar Tasik Puteri yang diadakan selama sehari itu merupakan satu percubaan sebelum ia diperkembangkan kepada sekolah-sekolah lain di bawah naungan Angkasa tahun depan.

Katanya mini karnival yang menjual pelbagai barangan persekolahan termasuk uniform dan kasut sekolah merupakan satu platform membantu ibu bapa dan komuniti setempat mendapatkan barangan untuk anak-anak mereka pada harga lebih rendah.

Katanya ia juga selari dengan hasrat kerajaan untuk melihat sektor koperasi memainkan peranan utama membantu masyarakat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Pada tahun depan kita (Angkasa) dan pihak sekolah akan membuat perancangan awal dan lebih rapi, mungkin dibuat lebih awal iaitu pada hujung November sehingga awal Disember. Kita juga akan berbincang dengan pihak pembekal untuk mendapatkan harga yang lebih murah,” katanya.

CATEGORIES