60 tahun merdeka, bekas tentera masih hidup melarat?

60 tahun merdeka, bekas tentera masih hidup melarat?

Bekas tentera yang telah mencurahkan tenaga, taat setia dan jiwa mereka kepada negara sejak muda sehinggalah bersara seharusnya mampu hidup dalam keadaan yang lebih selesa.

Kemelaratan hidup, kemiskinan dan kesukaran yang dihadapi bekas tentera tidak seharusnya wujud lagi.

Namun, setiap kali menjelangnya ulang tahun kemerdekaan negara, nasib pejuang-pejuang tersebut masih lagi menjadi perbualan yang tidak ada titik noktahnya.

Azizan Salleh Pengerusi Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia Pulau PinangDemikian diluahkan oleh Pengerusi Pertubuhan Veteran Perwira Negara Malaysia Pulau Pinang, Pegawai Waran (B) Azizan Salleh.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Azizan Memali juga berkata, masih ramai bekas tentera yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan.

“Cuba bayangkan ramai antara bekas tentera yang terkena jerangkap samar, kaki dipotong dan hidup terlantar.

“Ada juga yang hanya terpaksa mengharapkan kerusi roda untuk bergerak walaupun hanya tinggal saki-baki usia.

“Lebih parah lagi masih ramai lagi yang tidak mampu untuk mempunyai kediaman sendiri dan terpaksa menyewa kerana pencen yang diterima tidak setimpal,” jelasnya lagi.

Tegasnya lagi, seharusnya selepas bersara bekas-bekas tentera diberi pembelaan dengan sumber pendapatan yang lebih tinggi bagi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.

“Percaya atau tidak jika ada yang bersara dengan pangkat sebagai koperal atau sarjan pencen mereka amat sedikit sekali.

“Walaupun mereka berkhidmat selama lebih 20 tahun, selepas pencen mereka masih perlu menyewa rumah, bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menampung pencen yang tidak setimpal.

“Pengorbanan dalam tempoh yang begitu lama sehingga ada yang tempang, cacat, tidak berkaki tetapi ganjaran yang mereka terima amat tidak setimpal,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu katanya, menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-60 kerajaan harus mengorak langkah dengan melihat kembali nasib bekas-bekas tentera.

“Turun padanglah untuk lihat dan jenguk bekas-bekas tentera yang telah melarat hidup mereka sekarang ini.

“Janganlah hanya ketika hendak mengundi baru hendak beri sumbangan beras sekampit dan kain pelikat, sedangkan pemberian ini tidak berbaloi dengan sumbangan mereka kepada negara.

“Naikkan pencen, tingkatkan kebajikan mereka dan gerakkan agensi yang mempunyai peranan untuk membela nasib veteran dengan turun ke ceruk dan pedalaman untuk melihat betapa merana dan sengsaranya bekas tentera ketika ini,” tambahnya lagi.

Malah tambahnya, janganlah bekas tentera dijadikan umpan hanya untuk mendapat sokongan ketika pilihan raya, sebaliknya ganjaran yang diberikan tidak setimpal dengan pengorbanan mereka.

“Masih ada bekas tentera yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Terlalu ramai yang tidak mampu menanggung anak yang masih bersekolah sedangkan pendapatan amat kecil, kos sara hidup pula melonjak naik tanpa had.

“Menteri, wakil rakyat maupun jenderal sendiri harus turun padang ke setiap ceruk untuk melihat betapa pilu dan sayunya nasib bekas-bekas tentera tatkala ini, ” katanya lagi.

TAGS