6,700 etnik Rohingya terbunuh di Myanmar dalam tempoh sebulan, lapor MSF

6,700 etnik Rohingya terbunuh di Myanmar dalam tempoh sebulan, lapor MSF

Sekurang-kurangya 6,700 orang kaum Rohingya dibunuh oleh pihak berkuasa Myanmar dalam tempoh sebulan berikutan operasi ketenteraan dalam negeri Rakhine Ogos lalu, kata kesatuan Doktor Tanpa Sempadan (MSF).

Angka tersebut, yang diterbitkan minggu lalu dalam laporan MSF, nyata lebih tinggi daripada angka yang dilaporkan oleh pegawai tentera Myanmar berhubung tempoh yang sama.

Pengarah perubatan MSF, Sidney Wong berkata, organisasi tersebut mengumpul data-data berkenaan dalam tinjauan ke atas mangsa-mangsa keganasan yang terselamat di negeri Rakhine, di wilayah utara Myanmar, berdasarkan kajian ke atas wakil penduduk lebih daripada 600,000 orang.

Kebanyakan pelarian ini kini mendapat perlindungan di kem-kem pelarian yang sangat daif dan padat di daerah sempadan Myanmar-Bangladesh.

“Apa yang kami temui sangat mengejutkan, sama ada dari sudut jumlah orang yang melaporkan terdapat ahli keluarga mati akibat keganasan, dibunuh secara kejam atau akibat kecederaan yang teruk,” kata beliau menurut laporan AlJazeera.

“Angka kematian ini kemungkinan di bawah jangkaan memandangkan kami masih belum meninjau semua penempatan pelarian di Bangladesh dan juga kerana tinjauan tersebut tidak membabitkan keluarga yang gagal melarikan diri keluar dari Myanmar.

Laporan tersebut menyebut sekurang-kurangnya 9,000 orang kaum Rohingya mati di negeri Rakhine antara 25 Ogos dan 24 September, dengan 71.7 peratus daripada kematian tersebut diakibatkan keganasan.

Lebih 59 peratus kanak-kanak bawah usia lima tahun yang terbunuh adalah akibat tembakan, 15 peratus dibakar hidup-hidup, 7 peratus dipukul sehingga mati dan 2 peratus mati akibat jerangkap samar serta periuk api.

Lebih daripada 620,000 pelarian Rohingya melarikan diri dari apa yang dilabelkan oleh PBB sebagai “pembersihan etnik” di negeri Rakhine sejak tercetusnya perbalahan antara pasukan keselamatan kerajaan dengan pejuang-pejuang Rohingya pada 25 Ogos lalu.

Pihak tentera mendakwa mereka bertindak secara sah menurut undang-undang sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan pemberontak bersenjata ke atas pos-pos sempadan. Mereka yang melarikan diri akibat keganasan tersebut adalah atas kerelaan sendiri, kata sebahagian pegawai.

Kerajaan Myanmar menafikan dakwaan pembersihan etnik dan jenayah ke atas kemanusiaan, tetapi mereka enggan membenarkan penyiasat PBB dan wartawan memasuki daerah tertentu di negeri yang terbabit dengan keganasan tersebut.

Kajian MSF, yang berdasarkan “anggaran paling konservatif”, mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 730 orang kanak-kanak Rohingya berumur bawah lima tahun dibunuh secara kejam dalam tempoh setengah bulan selepas 25 Ogos.

Lebih 59 peratus kanak-kanak bawah usia lima tahun yang terbunuh adalah akibat tembakan, 15 peratus dibakar hidup-hidup, 7 peratus dipukul sehingga mati dan 2 peratus mati akibat jerangkap samar serta periuk api, menurut MSF.

“Dalam keadaan kurangnya kumpulan-kumpulan pemberi bantuan bebas berupaya memasuki wilayah Maungdaw di Rakhine, kami bimbang terhadap nasib kaum Rohingya yang masih ada di sana,” tambah beliau.

Bangladesh dan Myanmar menandatangi perjanjian bulan lepas bagi menghantar pulang ratusan ribu pelarian Rohingya, tetapi amat sedikit diketahui syarat-syaratnya.

Aung San Suu Kyi, yang merupakan seorang pemimpin de facto Myanmar enggan membincangkan masalah kaum Rohingya.

Aung San Suu Ky dan kerajaannya tidak mengiktiraf kaum Rohingya sebagai salah satu kelompok etnik di Myanmar dan menuduh keganasan yang berlaku di Rakhine dalam operasi ketenteraan itu adalah disebabkan “pengganas” Rohingya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS