70 peratus imam dan guru muda naif aliran pemikiran semasa, kata Timbalan Mufti

70 peratus imam dan guru muda naif aliran pemikiran semasa, kata Timbalan Mufti

Kira-kira 70 peratus calon yang menghadiri temu duga bagi jawatan imam serta guru tauliah muda di negeri ini, kurang ilmu pengetahuan mengenai Aliran Pemikiran Semasa, kata Timbalan Mufti Perak Ustaz Zamri Hashim.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kira-kira 70 peratus calon yang menghadiri temu duga bagi jawatan imam serta guru tauliah muda di negeri ini, kurang ilmu pengetahuan mengenai Aliran Pemikiran Semasa, kata Timbalan Mufti Perak Ustaz Zamri Hashim.

Katanya ia merupakan hasil kajian pihaknya selama empat tahun sejak Aliran Pemikiran Semasa itu dipraktikkan kepada asatizah semasa proses temu duga oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak (Jaip).

“Bakal-bakal tauliah ini perlu melalui proses ujian bertulis serta temu duga. Malah mereka ini mesti membaca subjek biasa serta subjek baharu iaitu Aliran Pemikiran Semasa.

“Aliran Pemikiran Semasa itu meliputi maklumat dan kefahaman mengenai apa itu Syiah, Pluralisme, Sekularisme, menggunakan hak asasi manusia dalam menyebarkan dakyah dan sebagainya untuk pendedahan kepada bakal-bakal guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi ahli panel dalam forum mengenai ‘Fahaman Syiah dan Gerakan Kristianisasi di Malaysia’ yang dirasmikan oleh anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong Datuk Mohd Azhar Jamaluddin merangkap Pengerusi Yayasan Pendidikan Teluk Intan hari ini.

Turut hadir Dekan Pusat Bahasa dan Pengajian Asas Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) Kuala Kangsar, Prof Dr Jamil Hashim selaku ahli panel kedua.

Memandangkan cabaran mempertahankan agama Islam pada masa kini kian meningkat, Zamri berkata adalah wajib calon temu duga didedahkan dengan perkara sedemikian agar bersedia menghadapi ancaman penjajahan pemikiran dan dakyah yang boleh memusnahkan perpaduan dan merosakkan negara.

Mengulas lanjut, katanya penjajahan pemikiran adalah senjata paling ampuh dan mudah digunakan oleh kelompok atau individu yang berniat menghancurkan negara.

“Kita mengatakan Malaysia merupakan negara Islam dengan sandaran Perlembagaan, tetapi mereka ini hendak menjadikan negara ini sebagai negara sekular.

“Kesannya bila negara menjadi sekular, maka urusan agama tidak boleh nak ditawarkan oleh kerajaan mahupun agensi kerajaan kerana itu sudah menjadi hak masing-masing,” katanya.

TAGS