8 polis iringi Rafizi ke pejabatnya untuk penggeledahan

8 polis iringi Rafizi ke pejabatnya untuk penggeledahan

Lapan pegawai polis mengiringi Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam ini dan naik ke tingkat dua bangunan itu yang menempatkan pejabat Rafizi dipercayai bagi tujuan penggeledahan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lapan pegawai polis mengiringi Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam ini dan naik ke tingkat dua bangunan itu yang menempatkan pejabat Rafizi dipercayai bagi tujuan penggeledahan.

Turut berada di situ adalah Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan juga Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.

Rafizi kelihatan ceria dan masih memakai kot iaitu pakaian lengkap di Dewan Rakyat ketika di bawa ke situ kira-kira jam 10.30 malam dan keluar dari situ kira-kira setengah jam kemudian.

Saifudin ketika dihubungi mengesahkan Rafizi dibawa keluar semula oleh polis dari pejabat itu kira-kira jam 11 malam tadi.

Selepas pejabat, Rafizi dibawa pula ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pandan pula. Selepas itu dia dibawa ke rumahnya dipercayai untuk tujuan yang sama.

Rafizi ditahan oleh polis di luar pagar bangunan Parlimen petang tadi dan dibawa naik ke kereta polis yang menunggu.

Ahli parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah yang melihat kejadian itu telah mengekori Rafizi dan cuba untuk bercakap dengannya namun tidak dibenarkan oleh polis.

Rafizi ditahan di bawah Seksyen 8, Akta Rahsia Rasmi (OSA) selepas beliau mendedahkan satu dokumen yang dikatakan disenaraikan sebagai Rahsia Rasmi.

Wan Azizah dalam kenyataannya mengecam sekeras-kerasnya tangkapan terhadap Rafizi ini yang dibuat “dengan cara ala Gestapo”.

“YB Rafizi telah ditarik keluar dari kereta beliau oleh sekumpulan sepuluh orang anggota polis seolah-olah YB Rafizi seorang penjenayah berat atau pembunuh yang cuba melarikan diri,” kata Wan Azizah dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, PKR percaya tangkapan ini berkemungkinan besar berkaitan dokumen yang ditunjuk YB Rafizi di dalam satu sidang media beberapa hari lalu, yang berkaitan laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang bakal dibentang di Parlimen pada Khamis ini.

“Setelah laporan akhir itu dibentang di Parlimen, dokumen tersebut tidak akan lagi diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi. Oleh itu, tindakan menangkap YB Rafizi dengan cara ini adalah keterlaluan,” katanya.

TAGS