97 sabitan kes pemerdagangan manusia direkod tahun ini

97 sabitan kes pemerdagangan manusia direkod tahun ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebanyak 97 sabitan kes pemerdagangan orang direkodkan pada 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan perkara itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Majlis Anti pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di Putrajaya hari ini.

Sabitan kes berkenaan terdiri daripada 76 sabitan kes pemerdagangan orang, sembilan sabitan di bawah kes penyeludupan migran termasuk kes di Wang Kelian dan 12 sabitan kes di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan akta lain yang berkaitan, katanya.

“Kejayaan ini hasil kerjasama erat dan komitmen berterusan ahli MAPO terutama melibatkan timbalan-timbalan pendakwa raya, pegawai penguatkuasa dan pegawai pelindung kepada mangsa pemerdagangan orang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat berkenaan.

Ahmad Zahid turut memaklumkan sehingga November tahun ini, 16 mangsa pemerdagangan orang diberikan kebenaran untuk bergerak bebas oleh MAPO.

Peraturan-Peraturan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Kebenaran untuk Bergerak Bebas dan untuk Bekerja) (Warganegara Asing) 2016 mula dikuatkuasakan pada 4 Mei 2016.

Kerajaan juga bersetuju dengan cadangan penubuhan Pasukan Petugas Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dengan  kerjasama organisasi antarabangsa iaitu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mulai 2017 bagi memperkasakan siasatan dan penguatkuasaan ATIPSOM 2007, katanya.

TAGS