Abdul Gani diterima masuk sebagai peguambela, peguamcara

Abdul Gani diterima masuk sebagai peguambela, peguamcara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Selepas bersara sebagai peguam negara pada Oktober tahun lepas, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

Abdul Gani, 61, antara lima orang pelajar yang diterima masuk pada majlis penerimaan masuk sebagai peguambela dan peguamcara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’Hara hari ini.

O’Hara berkata selepas membaca permohonan pempetisyen, Abdul Gani yang meminta diterima dan didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, mahkamah dengan ini menerima Abdul Gani sebagai peguambela dan peguamcara.

“Saya juga memerintahkan Abdul Gani dan penerimaannya sebagai peguambela dan peguamcara didaftarkan oleh pendaftar,” kata hakim itu.

Selain Abdul Gani, empat pelajar iaitu Wan Nurul Nabila Wan Mansor, Chee Weng Kian, Siti Aminah Abdullah dan Yeoh Jie Yin turut diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara pada prosiding hari ini.

O’Hara sempat menasihati keempat-empat peguambela dan peguamcara baharu itu supaya menepati masa dan belajar daripada kesilapan.

O’Hara berkata prosiding pada hari ini adalah peristiwa bersejarah dan sangat bermakna bagi pempetisyen untuk melangkah sebagai status peguambela dan peguamcara yang bertauliah.

Pada majlis itu, bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan selaku pengajar menyarungkan jubah kepada Abdul Gani selaku pelajarnya, sebagai simbolik beliau (Abdul Gani) kini adalah pegumbela dan peguamcara.

Terdahulu, peguam pengusul Christopher Leong yang juga bekas Presiden Majlis Peguam membacakan petisyen Abdul Gani.

Christopher berkata: “Sebagai Peguam Negara Malaysia selama 13 tahun bermula 2003, pempetisyen (Abdul Gani) adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan,pendakwa raya dan akan mengetuai ‘firma guaman terbesar’ di negara ini.

Christopher juga berkata Abdul Gani telah memberi nasihat kepada kerajaan dalam banyak perkara, mengendalikan banyak kes sivil dan jenayah, serta menguruskan perkara berkaitan undang-undang yang kompleks dalam negara dan di peringkat antarabangsa sepanjang perkhidmatannya itu.

Petisyen untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara itu tidak mendapat bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur.

TAGS