Abdul Hadi dangkal dan mengarut tuduh DAP sokong TPPA

Abdul Hadi dangkal dan mengarut tuduh DAP sokong TPPA

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

DAP menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya DAP menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), adalah  tidak berasas, mengarut dan dangkal kata, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Beliau berkata Hadi sepatutnya lebih mengerti pihak yang sebenarnya ghairah menandatangani TPPA ialah Umno, parti yang Hadi sedang nasihati.

“Bagaimana mungkin PAS tidak berjaya menasihati Umno untuk tidak meneruskan agenda TPPA setelah begitu rapat dan mesra dengan parti itu sepanjang enam bulan berpisah dengan rakan lama?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sebuah portal tempatan semalam melapor, Hadi tanpa sebarang bukti menuduh DAP menyokong TPPA atas alasan kononnya hal ehwal perdagangan di negara dikawal oleh orang Cina.

Lip Eng berkata, tuduhan Hadi itu tidak mencerminkan ketokohan dan keilmuan sebagai pemimpin parti yang bertahun-tahun menjalin kerjasama erat dengan DAP, malah kerap membela parti berkenaan ketika diserang UMNO.

Beliau juga mempersoal Ahli Parlimen Marang itu sama ada Umno yang berpendirian menyokong TPPA itu mahu menandatangani perjanjian itu kerana ia sebuah parti yang didokong pedagang dan peniaga Cina seperti dakwaan Hadi terhadap DAP?

“Sekelip mata Hadi berubah lenggok bahasanya sehingga sanggup meniru skrip UMNO dengan berfikir dalam konteks politik perkauman, berbeza dengan aspirasi partinya yang beberapa tahun lalu giat menghindar politik perkauman sempit dan mengadu domba,” katanya.

Dengan tegas, Lip Eng berkata, DAP dengan kekuatan 37 Ahli Parlimen akan mengundi menolak TPPA, berbanding dengan PAS yang kini hanya mempunyai 14 undi di Parlimen.

Beliau juga berharap Hadi akan hadir sesi pengundian TPPA di Dewan Rakyat untuk bersama-sama menolak TPPA, jika tiada aral melintang.

Abdul Hadi dalam kenyataannya mendakwa DAP dilihat menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana orang Cina dikatakan menguasai perdagangan di negara ini.

Hadi mendakwa DAP bersetuju dengan tender terbuka “sebab orang Cina menguasai perdagangan di Malaysia”.

Kata Abdul Hadi, kontraktor Malaysia akan perlu bersaing dengan kontraktor dari negara anggota TPPA yang mempunyai peralatan yang lebih canggih, lebih pengalaman dan lebih kebolehan.

“Orang bumiputera yang letihnya dengan TPPA ini,” katanya dalam video mesej pra-perhimpunan yang disiarkan melalui laman Facebook PAS.

TAGS