Abdul Hadi ucap takziah kepada keluarga Haron Din

Abdul Hadi ucap takziah kepada keluarga Haron Din

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di Amerika Syarikat hari ini.

Beliau berkata Allahyarham Dr Haron adalah di antara generasi awal lulusan Islam yang bersama-sama dengan Pas sejak parti itu ditubuhkan.

“Beliau merupakan generasi awal yang bersama dengan Pas, generasi awal lulusan Islam bersama dengan Profesor Dr Zulkifli Mohamad dan kumpulan Islam.

“Kita harap semua sumbangan Allahyarham terhadap Islam dapat diterima Allah SWT dan semua kekurangan beliau diampunkan oleh Allah SWT.

“Mudah-mudahan Allah bagi rahmat dan meletakkan rohnya bersama para Anbia, syuhada dan para solehin yang menegakkan Islam,” katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila di sini.

Dalam perkembangan sama turut dilaporkan Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata pemergian Haron yang juga Mursyidul Am Pas sangat menyedihkan seluruh pendokong serta penyokong parti itu.

“Sesungguhnya Almarhum Tuan Guru adalah seorang ulama besar dan menjadi rujukan ummah dalam pelbagai bidang ilmu. Agak sukar menemui insan yang sangat peramah dan berprinsip seumpama beliau khasnya dalam menjulang tinggi agama Allah SWT di tanah air.

Penglibatan beliau dalam Pas memberi kekuatan kepada parti khasnya ketika beliau mengemudi Majlis Syura Ulama sebagai Mursyidul Am. Prinsip dan dasar parti sentiasa dijaga dan dicermati agar Pas sentiasa teguh berdiri di atas dasar yang diredai Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) selepas dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

 KENANGAN:  Allahyarham Haron Din (kanan) semasa hayatnya mengunjungi timbalan mursyidul am Pas Datuk Ahmad Yakob di pejabat  Menteri Besar.

 

TAGS