ABIM desak dunia Islam putuskan hubungan dengan rejim Bashar al-Assad

ABIM desak dunia Islam putuskan hubungan dengan rejim Bashar al-Assad

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak dunia Islam khususnya kerajaan Malaysia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim Bashar Al-Assad.

Setiausaha ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya mengecam secara terbuka kezaliman rejim tersebut dan sekutunya yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat di Aleppo.

“Saranan ini adalah sebagai menyahut resolusi yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Sedunia yang dipimpin oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Konya, Turki pada 5 Ogos lalu untuk memulau kerajaan Syria dan berdiri menyokong rakyat Syria yang mahukan kebebasan dan keamanan,” katanya pada sidang media di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, tragedi kemanusiaan di Aleppo adalah petunjuk bahawa krisis kemanusiaan di Syria akan terus meruncing dengan meningkatnya jumlah pelarian yang mencari perlindungan di negara-negara jiran terutama Turki, Jordan dan Lubnan.

Sehubungan itu, ujarnya, pihak Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) atas inisiatif ABIM akan menjalankan program kemanusiaan ‘Misi Musim Sejuk 4.0’ di Syria menjelang awal Januari tahun depan.

Sementara itu, jurucakap MLLFS, Syahrir Azhar berkata, misi kemanusiaan mereka menyasarkan mangsa krisis perang yang dipaksa keluar dari bandar Aleppo

“Misi kami ini tidak lebih lima orang kerana atas faktor keselamatan. Kami akan menyampaikan kit bantuan musim sejuk lengkap baju dan kasut, bantuan perubatan serta pendidikan untuk jangka panjang,” ujarnya ketika ditanya pemberita.

Beliau berkata, pihaknya pada masa ini sedang berhubung dengan hospital tempatan bagi mengenal pasti mangsa terbabit agar mendapat bantuan pada masa kadar segeea.

“Bantuan daripada kami juga termasuk susu bayi dan makanan. Sebanyak RM500,000 dana diperlukan dan RM200,000 sudah berjaya diperoleh.

“Bakinya lagi kami perlukan sokongan dari dari rakyat Malaysia untuk dihantar ke sana,” ujarnya.

Turut hadir pada sidang media ya g dihadiri 14 NGO lain adalah Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Mazlan Pet Pet Senario.

TAGS