Ada asas teraju SPRM dipaksa lepas jawatan, kata Mujahid

Ada asas teraju SPRM dipaksa lepas jawatan, kata Mujahid

Penamatan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dua tahun lebih awal dan pengakuan wujud campur tangan politik dalam siasatan kes berprofail tinggi yang diakui pegawai tinggi SPRM tidak menolak kemungkinan wujud tekanan supaya Abu Kassim dan timbalannya berundur.

Penamatan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dua tahun lebih awal dan pengakuan wujud campur tangan politik dalam siasatan kes berprofail tinggi yang diakui pegawai tinggi SPRM tidak menolak kemungkinan wujud tekanan supaya Abu Kassim dan timbalannya berundur.

Abu Kassim MohamedNaib Presiden Amanah yang juga ahli parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof berkata, walaupun pada sidang media semalam Abu Kassim mengakui penamatan khidmat itu atas permintaannya sendiri namun kemungkinan wujud campur tangan politik agar beliau melepaskan jawatan tidak boleh dikesampingkan.

Ini katanya berasaskan insiden yang berkembang hasil daripada siasatan sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri dan skandal 1MDB.

Dr Mujahid mengimbau tindakan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali yang membersihkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari skandal sumbangan peribadi RM2.6 bilion pada awal 2016 setelah dilantik ke jawatan tersebut pada 27 Julai 2015.

Apandi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatan beberapa bulan lebih awal dari tempoh persaraan rasmi, katanya.

Tindakan Apandi, ujarnya telah menimbulkan reaksi tidak puas hati Panel Penilaian Operasi SPRM yang menuntut supaya SPRM diizinkan mendapatkan penyata kewangan dari bank luar negara yang menyalurkan dana RM2.6 bilion ke akaun Najib.

Tambah Mujahid, walaupun Apandi mengakui transaksi itu wujud, beliau enggan bekerjasama untuk mendapatkan MLA atau bantuan undang-undang untuk tujuan tersebut.

Tindakan memindahkan pengarah operasi khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) atas ketegasan beliau mengendalikan siasatan 1MDB, kata Mujahid turut menimbulkan berbagai tanda soal.

“Sebelumnya pejabat SPRM digeledah oleh polis atas alasan ‘dokumen yang tidak patut didedahkan’. Datuk Bahri bersumpah untuk melindungi integriti SPRM dari tindakan PDRM sebelum beliau dipindahkan secara mengejut.

“Pihak Polis menahan beberapa pegawai SPRM termasuk timbalan pendakwaraya yang kesemuanya terlibat dalam siasatan 1MDB dan SRC International sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati SPRM yang membuat solat hajat supaya Allah memelihara SPRM dan kakitangannya dari diganggu kerana membuat siasatan yang telus dan amanah,” jelas Mujahid.

Mujahid juga menimbulkan kembali edaran dalaman daripada Abu Kassim yang kesal dengan gangguan terhadap pegawai-pegawainya ketika menjalankan tugas dan komitmen beliau untuk mempertahankan integriti SPRM.

Ini tegas Mujahid membuktikan SPRM telah ‘dicerobohi’ kuasa politik.

“Kami mendesak satu penjelasan yang telus kerana semua perkembangan ini menunjukkan kepada satu arah, iaitu perdana menteri dan kabinetnya gagal memelihara kebebasan SPRM yang menjadi medan hadapan utama memerangi rasuah,” tegas Mujahid.

Beliau turut bimbang dengan kecenderungan negara yang menuju ke arah kediktatoran ekoran misteri penamatan jawatan Abu Kassim berkuatkuasa Ogos 2016 walaupun tempoh khidmatnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berakhir pada 4 Disember 2018.

TAGS

COMMENTS