Ada yang lebih penting dari perpaduan politik Melayu

Ada yang lebih penting dari perpaduan politik Melayu

Ketidakstabilan negara yang wujud bukan semata-mata disebabkan kurangnya perpaduan dalam kalangan Melayu sebaliknya berpunca akibat ketirisan, rasuah dan pelbagai skandal penyelewengan sejak lebih 50 tahun Umno-BN memimpin negara.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketidakstabilan negara yang wujud bukan semata-mata disebabkan kurangnya perpaduan dalam kalangan Melayu sebaliknya berpunca akibat ketirisan, rasuah dan pelbagai skandal penyelewengan sejak lebih 50 tahun Umno-BN memimpin negara.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kelmarin kononnya kerjasama Umno-PAS akan menjadi titik tolak untuk mewujudkan perpaduan lebih besar dalam kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu.

“Skandal 1MDB, isu RM2.6 bilion yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, skandal Yapeim, cukai GST yang menjerut rakyat, dan banyak lagi skandal lain adalah punca sebenar kepada ketidakstabilan negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Mengambil situasi program pertemuan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dengan golongan muda pelbagai kaum di Kluang pada 2 Januari lalu yang berjalan lancar dan harmoni, beliau berkata, dakwaan Khaled tentang ancaman perpaduan nyata meleset sama sekali.

“Isu yang dibangkitkan oleh anak-anak muda berbilang bangsa tersebut berkisar tentang kesukaran yang mereka hadapi untuk meneruskan survival hidup seperti kesukaran mendapat peluang pekerjaan, kepayahan memiliki rumah kediaman, kekhuatiran terhadap kos sara hidup yang semakin menekan dan yang sewaktu dengannya,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan pihak yang kerap menggugat perpaduan negara termasuk mengadakan himpunan Merah dengan begitu banyak cemuhan dan kebencian terhadap kaum lain.

“Saya juga ingin menyoal Khaled jika beliau obses melihat isu perpaduan sebagai punca kepada ketidakstabilan negara. Soal saya, siapakah yang seringkali menggugah perpaduan negara?

“Rakyat pasti tidak lupa apabila ada pemimpin Umno yang menghunuskan keris dalam perhimpunan agung mereka, ada pula yang bertanya ‘apa lagi Cina mahu?’. Justeru, Khaled perlu dengan jujur menjawab persoalan saya, siapa sebenarnya mencarik-carik perpaduan rakyat dan negara?” bidasnya.

Menurut Sheikh Omar, pihaknya pada masa sama turut mengalu-alukan pandangan Khaled bahawa dalam sebuah sistem demokrasi matang, kerjasama boleh sahaja dibuat antara mana-mana pihak demi mendukung aspirasi nasional, membawa kemajuan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Oleh itu, saya harap hasrat beliau ini direalisasikan dengan menyambut baik saranan DAP Johor agar diwujudkan Jawatankuasa Terpilih (Select Committee) rentas parti khususnya dalam mendepani isu-isu kritikal melibatkan rakyat Johor contohnya krisis air.

“Sehingga kini, kami masih tidak mendapat sebarang reaksi oleh kerajaan (negeri) pimpinan Khaled. Janganlah berkokok berderai-derai, melaungkan slogan kerjasama demi rakyat, sedangkan ekor dipenuhi tahi. Cakap tak serupa bikin,” ujarnya lagi.

TAGS