Adab sebagai buah atau hasil kepada pendidikan

Adab sebagai buah atau hasil kepada pendidikan

Punca sesebuah keluarga yang aman damai adalah adab yang tinggi yang dihayati di antara suami, isteri dan anak-anak. Anak-anak yang rendah akhlaknya dianggap kurang adab atau kurang di ajar (kurang ajar!).

Suami yang kurang adab akan menzalimi si isteri yang malang manakala isteri yang kurang adab akan menengking suaminya atau melawan perintah suaminya yang soleh atau baik.

Sistem pendidikan di Denmark mendapat rangking Ke-11 dari 20 pendidikan terbaik dunia. Yang menakjubkan tiada peperiksaan dari sekolah rendah (year 1-year 10) atau umur 16 tahun.

Selain penyiapan psiko-motor, aktiviti sosial dan pengetahuan untuk persiapan ke universiti mahupun kolej penekanan mereka ialah ‘aspek kejujuran’.

Saya ada terbaca walaupun sumber yang tidak dapat disahkan wakil pendidikan Denmark mengatakan “kami menekan aspek kejujuran pada anak-anak sekolah kami.

Kami yakin sifat kejujuran ini amat penting bagi pembangunan negara kami. Jika jujur diamalkan semua masalah dalam negara akan dapat diselesaikan!.

Saya yang membaca terkesima kerana ini adalah asas dalam sistem pendidikan Islam iaitu menanam adab sebelum menuntut ilmu. Adab dengan ibu bapa, adab dengan guru, adab dengan orang yang lebih tua dsbnya.

Sebuah masyarakat juga akan menjadi baik jika adab sesama penduduk di jaga dan dipelihara.

Sesebuah organisasi juga akan mantap jika anggota organisasi ini sentiasa beradab dengan pimpinan dan pimpinan juga sentiasa melayan ahli dengan penuh kasih sayang dan jujur.

Sebuah negara juga akan aman dan damai jika Pemimpinnya menjaga adab iaitu kejujuran memerintah dan mentadbir dengan adil dan rahmah.

Wujud dalam sejarah, Pemimpin yang merasa dirinya terlalu berkuasa dan ingin terus memerintah berbilion tahun namun kecundang apabila tentera yang menjaga istananya mula meninggalkannya keseorangan.

Pemimpin zalim ini dibenci oleh rakyatnya kerana menindas dan memenjarakan mereka yang berani mengkritik segala kezaliman pemerintah tersebut.

Saya tidak pernah mengenali Pemimpin Gambia namun itulah sejarah politik yang berlaku kini terhadap Mantan Presidennya yang kalah dalam pilihanraya baru-baru ini dan terpaksa meninggalkan tanahairnya dan mendapatkan suaka politik di negara jiran kerana rakyat sudah benci.

Jika Pemimpin ini baik budi dan akhlak saya rasa rakyat akan menahannya dari pergi namun apa yang berlaku rakyat bersorak kegembiraan dengan kehilangannya. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui!

Sesungguhnya adab atau akhlak ini merupakan puncak peradaban manusia yang boleh menaikkan atau menjahamkan tanah air ke lembah kebobrokan.

Hajat manusia kepada peradaban mulia di atas nilai-nilai kejujuran dan adil serta amanah terlalu penting mengatasi segala keperluan lain.

Lantaran itu Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyempurnakan kemurnian dan keperibadian akhlak manusia. (Innama buithtu li utammima makarimal akhlak”)

Rasulullah Saw. bersabda: “Addabani Rabbi fa ahsana ta’dibi (saya dididik oleh Tuhanku dengan sebaik-baiknya didikan)”

Semoga kita semua berusaha untuk mencapai maqam akhlak dan penuh dengan adab yang tinggi! Inilah rahsia untuk negara kita masa depan.

TAGS