Adakah era pemerintahan keluarga di Raja Saud akan berakhir?

Adakah era pemerintahan keluarga di Raja Saud akan berakhir?

Pada bulan Mei 2017, Presiden Trump telah mengumumkan kontrak penjualan senjata berjumlah USD110bilion kepada kerajaan Arab Saudi.Ramai mungkin tertanya tentang perkara tersebut kerana Trump dilihat sebagai Presiden yang anti-Islam.

Sebenarnya apa yang lebih penting untuk ditanya ialah adakah kerajaan Saudi mampu untuk berbelanja wang sebanyak itu sedangkan pada bulan September 2016 kerajaan Saudi telah mengumumkan pemotongan gaji kakitangan kerajaan nya sendiri sebagai langkah jimat cermat.

Walaupun keputusan potongan gaji tersebut telah ditarik balik pada bulan April 2017, namun beberapa keputusan berkaitan langkah jimat cermat masih akan diteruskan seperti pemotongan subsidi dan juga mengenakan cukai jualan pada tahun 2018.

Memang benar kerajaan Saudi masih mempunyai jumlah rezab yang besar yang dianggarkan berjumlah lebih kurang USD 500 bilion sekarang ini.

Namun kerajaan Saudi juga semakin bimbang kerana jumlah rezab tersebut semakin mengecil kerana pada tahun lepas jumlahnya ialah hampir USD 600 bilion.

Tambahan pula kerajaan Saudi tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menggunakan duit dari Rezab tersebut kerana ia diperlukan untuk tujuan mempertahankan nilai Riyal dan untuk membantu urusniaga perdagangan antarabangsa.

Jika Rezab ini sentiasa menurun, spekulator matawang asing mungkin akan melakukan tindakan spekulasi dengan menjual Riyal dan ini akan menjatuhkan nilai Riyal dengan lebih cepat.

Oleh itu, kerajaan Saudi terpaksa bergantung kepada pinjaman daripada pasaran kewangan antarabangsa untuk membiayai perbelanjaannya.

Pada tahun ini kerajaan Saudi telah meminjam dana dari pasaran kewangan antarabangsa berjumlah USD 9 bilion dengan menjual sukuk. Pada tahun lepas kerajaan Saudi telah meminjam sebanyak USD 17.5 bilion dengan menjual bon konvenisional (yang mengandungi unsur Riba).

Semua langkah ini adalah akibat dari masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh kerajaan Saudi di mana belanjawan nya adalah dalam keadaan defisit sebanyak USD 53 bilion pada tahun ini.

Namun tindakan berhutang dari sumber luar ini lama kelamaaan akan menimbulkan masalah kerana hutang perlu dibayar juga pada satu hari nanti apabila instrumen hutang bon dan sukuknya matang kelak.Sementara itu bayaran interest juga mesti dibuat pada setiap tahun.

Akibat dari masalah kewangan di atas, kerajaan Saudi telah merancang untuk menjual sebahagian dari pemilikannya di dalam syarikat minyak negaranya pada tahun hadapan. Jumlah dana yang akan diperolehi nanti belum dapat dipastikan.

Namun kejatuhan harga minyak mungkin akan menjejaskan nilai syarikat Aramco. Oleh itu, langkah yang diambil tersebut tidak dapat dipastikan sama ada ia akan membantu menyelesaikan masalah kewangan kerajaan Saudi.

Baru-baru ini kerajaan Saudi mengumumkan tindakan keras terhadap negara Qatar kerana sokongan kuat Qatar kepada pertubuhan dakwah Ikhwanul Muslimin dan Hamas yang dikatakan sebagai pertubuhan pengganas.

Kerajaan Saudi juga mengutuk ulamak termasyhur dunia, Sheikh Yusuf Qaradawi dan menuduh beliau sebagai pengganas. Tindakan yang tidak masuk akal tersebut mengejutkan ramai orang Islam termasuk rakyatnya sendiri. Rakyat Saudi sebenarnya sangat kagum dengan gerakan Ikhwanul Muslimin, Hamas dan juga Sheikh Yusuf Qaradawi.

Kemungkinan besar motif utama tindakan tersebut ialah kerana Ikhwanul Muslimin, Hamas serta Sheikh Qaradawi menyokong proses demokrasi dikuatkan di negara-negara Islam.

Keluarga Di Raja Saud sebenarnya bukannya disukai sangat oleh rakyat mereka sendiri. Rakyat mereka juga meluat dengan tingkah laku keluarga Di Raja yang suka berpoya-poya dan hidup bermewah-mewah. Oleh itu keluarga Di Raja Saud amat bimbang dengan laungan memanggil kepada proses demokrasi di mana rakyat bebas memilih pemimpin mereka.

Mereka sedar bahawa jika proses demokrasi berlaku di Arab Saudi, mereka pasti akan hilang kuasa. Oleh kerana itu jugalah kerajaan Saudi sangat membenci syarikat media Al Jazeera yang beribu pejabat di Doha, Qatar.

Ini kerana Al Jazeera adalah syarikat media yang bebas dan juga sentiasa mengeluarkan rancangan-rancangan di mana pandangan yang mengutuk pemerintah despotik dan tidak demokratik di rantau Arab disuarakan dengan lantang.

Akibat dari keadaan yang tertekan ini, kerajaan Saudi telah membuat keputusan untuk berbaik dengan kerajaan Amerika di bawah pimpinan Donald Trump. Mereka berharap Trump akan menjadi rakan rapat Saudi, terutama sekali setelah mengumumkan rancangan pembelian senjata berjumlah USD110 bilion.

Mereka tidak menghiraukan langsung hakikat bahawa kerajaan Amerika juga sangat rapat dengan Israel. Bagi mereka Qatar adalah negara yang lebih merbahaya berbanding Israel.

Namun langkah mencari sokongan Donald Trump dan Amerika Syarikat adalah amat tidak cerdik berdasarkan faktor-faktor berikut:

1. Kedudukan Donald Trump sendiri agak goncang akibat beberapa tindakannya, khasnya permintaan beliau kepada bekas pengarah FBI, James Comey untuk memberhentikan siasatan ke atas bekas penasihat keselamatan kerajaan Amerika, Michael Flynn. Donald Trump mungkin akan kehilangan jawatan sebagai Presiden Amerika akibat dari tindakan berkenaan.

2. Bukan semua pihak di dalam kerajaan Amerika bersetuju degan tindakan kerajaan Saudi terhadap Qatar. Sebagai contoh, Pentagon (Kementerian Pertahanan Amerika) sebenarnya masih mahu berbaik dengan kerajaan Qatar kerana Qatar membenarkan tentera Amerika menempatkan sejumlah 11,000 orang askar di Al Udeid Air Base berdekatan Doha.

3. Jumlah USD110 bilion pembelian senjata dari Amerika yang diumumkan oleh Presiden Trump baru-baru ini sebenarnya bukanlah kontrak yang sudah ditandatangani tetapi merupakan `surat rancangan’ (letter of intent) kerajaan Saudi semata-mata yang berkemungkinan besar tidak akan dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan kerajaan Saudi yang serius. Oleh itu sokongan Amerika kepada tindakan keras kerajaan Saudi terhadap Qatar boleh berubah pada bila-bila masa sebenarnya.

Dalam jangka panjang, kedudukan keluarga Di Raja Saud sebagai pemerintah di Arab Saudi sebenarnya amat bergantung kepada sokongan rakyatnya sendiri. Jika mereka menyedari hakikat ini, apa yang sepatutnya dilakukan untuk memperkuatkan kedudukan ialah dengan cara mengambil hati rakyat. Sebagai contoh, keluarga Saud sepatutnya hidup dengan cara yang lebih sederhana supaya dilihat peka dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat. Ini kerana ramai rakyat Saudi yang sebenarnya hidup melarat. Namun situasi ini tidak diketahui umum kerana suasana yang tidak telus di negara tersebut. Dua orang rakyat Saudi dilaporkan telah dipenjarakan selama dua minggu kerana menghasilkan satu filem dokumentari yang menyatakan bahawa 22 peratus rakyat Saudi hidup dalam keadaan miskin secara relatif (relative poverty). Satu kempen Twitter berkenaan keadaan kemiskinan di Saudi yang bertajuk #الراتب_مايكفي_الحاجة (yang bermaksud Gaji Saya Tidak Mencukupi Keperluan Saya) mendapat 17 juta tweets dalam masa dua minggu sahaja. Keadaan kemiskinan sudah tentu akan menimbulkan kemarahan dari kalangan rakyat jika keluarga Di Raja Saud tidak menukar gaya hidup mereka supaya lebih bersederhana dan dilihat peka dengan kesengsaraan rakyat.

Namun setelah puluhan tahun hidup bergelumang dengan kemewahan dan berpoya-poya di era harga minyak yang mahal, perubahan ini mungkin mustahil dapat dilakukan oleh keluarga Di Raja Saud. Bukan senang bagi seorang yang pernah berbelanja USD 30 juta untuk bercuti di kepulauan Maldives pada tahun 2014 untuk tiba-tiba hidup dengan cara yang sederhana. Oleh sebab itulah keluarga Di Raja Saud memilih alternatif lain untuk mengekalkan kuasa iaitu dengan cara menghapuskan pihak-pihak yang dirasakan mengancam kedudukan mereka iaitu gerakan Ikhwanul Muslimin, Hamas, Sheikh Qaradawi dan syarikat Al Jazeera. Malangnya pihak-pihak yang dirasakan sebagai ancaman bagi mereka adalah sangat popular di kalangan rakyat Saudi dan oleh itu ia akan hanya membuatkan keadaan bertambah teruk bagi pihak keluarga Di Raja Saud. Kemungkinan besar ini adalah permulaan kepada berakhirnya era pemerintahan keluarga Di Raja Saud. Namun demikian hanya Allah swt sahaja yang mengetahui masa yang tepat jika perkara ini betul-betul berlaku .

Penulis Prof. Mohd Nazari Ismail, PhD. dari Palestine Research Group.

CATEGORIES
TAGS