Adakah institusi pondok ancaman kepada Umno, soal Pas

Adakah institusi pondok ancaman kepada Umno, soal Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Naib Presiden Pas Idris Ahmad berkata, beliau ingin mempersoalkan kewajaran kumpulan radikal seperti Daesh dan IS adalah dari keluaran pondok sebagaimana kenyataan pemimpin Umno.

“Ada juga mereka yang terlibat dengan kumpulan radikal ini yang tidak belajar di pondok dan pendidikan agama. Kenapa hendak kambing hitamkan pondok?” soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki  yang mahu sistem pengajian pondok dikaji semula untuk mengelak lahirnya golongan radikal dan pelampau, ketika beliau berucap di Mesyuarat Agung ke-39 Guru-Guru Agama Malaysia Barat di Kota Bharu.

Justeru Idris berkata, kerajaan sewajarnya membantu sistem pondok sebagai tanda pendekmokrasian dalam pendidikan.

“Bantu cukuplah, jangan pula untuk campur tangan dalam urusan pondok dan ubah kurikulum pondok. Kurikulum pondok berjaya melahirkan ulama yang berwibawa dan mantap dari segi keilmuan untuk menyelesaikan masalah semasa seperti perbankan Islam.

“Semuanya terpaksa merujuk kepada kitab turath (asal). Mereka yang pernah melalui pengajian pondok amat diperlukan untuk memahami nas asal syarak.

“Kerajaan sepatutnya berterima masih kepada pengajian pondok yang berusaha untuk membina modal insan di negara ini. Ketika masyarakat yang dilanda dengan krisis moral dan akhlak. Guru yang mengajar dengan ikhlas, pengajian tanpa yuran yang bukan bersifat perniagaan. Ini yang patut kerajaan berbangga,” ujarnya.

Idris turut mempersoalkan apakah Dr Asyraf marah kerana majoriti pondok menolak Umno sehingga ia menjadi ancaman kepada Umno, bukan ancaman kepada negara.

“Majoriti pondok menyokong Pas, walau pun ini bukan pondok Pas. Tetapi apa yang diajar dipondok sealiran dengan perjuangan Pas. Nasihat saya Dr Ashraf jangan gopoh untuk membuat tuduhan. Jika ada kes yang melibatkan pelajar pondok di dalam kegiatan ini, ia hanya kes yang terpencil.

“Sebagaimana juga mereka yang belajar di universiti terlibat dengan anasir ini, maka tidak boleh kita menyalahkan universiti. Semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat dihentikan. Semata-mata SAR menjadi ancaman kepada Umno,” ujarnya.

TAGS