Isu Bugis: Adun BN hantar memorandum kepada Sultan Selangor

Isu Bugis: Adun BN hantar memorandum kepada Sultan Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN  Selangor hari ini menghantar memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan sokongan wakil rakyat BN terhadap kenyataan balas Sultan Selangor mengenai etnik Bugis di negeri ini.

Memorandum itu dibuat susulan usul yang di bawa Datuk Abdul Shukor Harun (BN-Kuang) ditolak Speaker Dun Hannah Yeoh semalam.

Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, wakil rakyat BN telah membawa usul untuk dibincangkan di dewan negeri tetapi ditolak dengan alasan yang tidak kukuh.

“Usul yang dibawa oleh YB Datuk Shukor semalam, mengenai satu desakan supaya isu yang memperlekehkan etnik Bugis di Selangor yang mendapat perhatian Tuanku  itu telah ditolak Speaker dengan alasan yang kami fikir sangat remeh dan tidak munasabah.

“Terutamanya Speker mengatakan perkara ini bukan berkepentingan. Bagi kami isu ini sangat mustahak melibatkan titah Tuanku sendiri.

“Kami rasa terpanggil untuk membawa usul ini di dalam dewan negeri tetapi ia ditolak,” ujarnya pada sidang media di pekarangan Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

Memorandum telah disampaikan Mat Nadzari kepada Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani.

Justeru katanya, memorandum yang dihantar itu bagi menzahirkan sokongan Adun BN terhadap baginda dalam isu etnik Bugis ini.

Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap Speaker kerana menolak usul itu kerana ia perlu dibincangkan di dewan negeri.

“Kita boleh buat tindakan bersama. Kita nak tahu pendirian kerajan negeri. Ini bukan main-main punya kenyataan (titah Sultan), kenyataan daripada orang yang sangat besar dan tertinggi di negeri Selangor. Sepatutnya kerajaan negeri bagi respon sama ada menyokong atau tidak,” ujarnya.

Semalam Speaker Dun, Hannah Yeoh Tseow Suan menolak usul yang dikemukakan Abdul Shukor atas alasan isu itu bukan perkara yang perlu disegerakan.

Shukor ketika mengemukakan usul tergempar itu meminta kerajaan Selangor menghormati titah Sultan Selangor dan sewajarnya pemimpin negeri melarang Dr Mahathir daripada turut serta dalam sebarang aktiviti kerajaan Selangor termasuk menghalang penggunaan sebarang premis milik kerajaan negeri.

Ini ekoran Tun Mahathir ketika berucap di Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi pada 14 Oktober lalu di Petaling Jaya mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan lanun Bugis.

Ekoran kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa murka dan amat kecewa dengan kata-kata itu yang dilihat sebagai cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap etnik Bugis.

Perkara itu turut mendapat reaksi Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla yang mengaku tersinggung dan berasa terhina dengan kenyataan tersebut.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS