Adun DAP tidak guna fakta tuduh BN gagal bina Hospital Tanjong Karang

Adun DAP tidak guna fakta tuduh BN gagal bina Hospital Tanjong Karang

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim ditempelak apabila menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membina Hospital Tanjong Karang setelah 16 tahun menabur janji.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata tuduhan wakil rakyat DAP itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pada Rabu dibuat tanpa berasaskan fakta.

Beliau berkata Ng telah berbohong apabila mendakwa projek pembinaan hospital itu, baharu hendak dimulakan setelah 16 tahun, malah kononnya cuba menjadi ‘hero’ memperjuang pembinaan hospital itu.

“Kempen BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 langsung tidak sebut mengenai pembinaan hospital baharu di Tanjong Karang, jadi bagaimana Ng boleh menuduh kerajaan BN gagal menunaikan janji selepas 16 tahun?

“Hanya selepas PRU pada 2008, saya menjadi menteri penuh, baru isu pembinaan sebuah hospital baharu di Tanjong Karang dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ng Suee LimMenjelaskan isu itu, Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang berkata pada mulanya, sebuah hospital iaitu Hospital Kuala Selangor dicadang untuk dibina dalam Dun Permatang sebelum 2004 yang ketika itu terletak dalam Parlimen Kuala Selangor.

Namun, pada PRU 2004, berlaku pecahan sempadan pilihan raya menyebabkan Dun Permatang dimasukkan ke dalam Parlimen Tanjong Karang.

“Pada 2008, saya bangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet supaya Hospital Kuala Selangor dibina segera dan ditukar nama kepada Hospital Tanjong Karang kerana kedudukan hospital tersebut di DunPermatang dalam Parlimen Tanjong Karang,” katanya.

Malah, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata pada tahun 2013, kerajaan menambah peruntukan bagi projek itu dari RM250 juta kepada RM269 juta berikutan masalah struktur tanah yang menyebabkan kelewatan pembinaan hospital berkenaan.

Justeru, Noh menyifatkan tindakan Ng yang cuba menjadi ‘hero’ dalam sidang Dun Selangor itu sebagai publisiti murahan dan wakil rakyat tersebut tidak perlu diberikan kredit kerana kerajaan BN lebih tahu tanggungjawab kepada rakyat.

Hospital baharu di Tanjong Karang itu bakal dibina di kawasan seluas 16.1 hektar dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk sekitar dengan penempatan (doktor) pakar dalam pelbagai bidang kesihatan demi memberikan rawatan terbaik kepada rakyat.

Menurut Noh, hospital baharu itu akan menjadi pusat perubatan utama menggantikan hospital sedia ada di Tanjong Karang yang bakal dijadikan pusat rawatan pesakit luar.

TAGS