Adun tunggal Pas P.Pinang tidak berkecil hati tidak jadi calon  PRU14

Adun tunggal Pas P.Pinang tidak berkecil hati tidak jadi calon PRU14

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man tidak berkecil hati walaupun Pas telah menyatakan tidak akan memilih beliau sekali lagi untuk mewakili parti tersebut dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan datang.

Datuk Mohd Salleh Man

Beliau menzahirkan kenyataan tersebut semasa ditemui di Pekan Permatang Pauh selepas menyampaikan sumbangan buah limau dan ‘ang pow’ kepada masyarakat keturunan Cina yang tidak berkemampuan pagi ini.

“Itu hak mereka untuk mengekalkan saya atau tidak untuk mewakili Pas dalam PRU yang akan datang.

“Namun begitu saya telah melaksanakan yang terbaik dan termampu sejak menjadi wakil rakyat Dun Permatang Pasir selepas pilihan raya kecil pada Ogos 2009.

“Saya tidak berkecil hati walaupun tidak dipilih sekali lagi bagi mewakili Pas sepertimana yang telah diumumkan oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang baru-baru ini, ” jelasnya.

Semasa sidang media yang diadakan di Kepala Batas Ahad lalu, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof telah berkata nama Adun Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man tidak disenaraikan sebagai calon Pas Pulau Pinang pada PRU 14.

Malah katanya Mohd Salleh direhatkan daripada bertanding serta namanya tidak diangkat untuk dinamakan sebagai calon kepada Majlis Syura Ulama.

Dalam PRU ke 13 yang lalu, Mohd Salleh telah berjaya memenangi pilihan raya tersebut dengan memperolehi sebanyak 13,479 undi.

Manakala calon BN berjaya mendapat sebanyak 6,653 undi.

Walau bagaimana pun sokongan yang berjaya diraih oleh Pas ketika itu adalah semasa mereka berada bersama-sama dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Sebaliknya dalam PRU ke 14 yang akan datang, sokongan daripada lebih 23 ribu pengundi belum pasti mampu untuk mengulangi kemenangan yang diraih oleh Pas dalam PRU yang lalu.

Sejarah juga telah membuktikan dalam PRU ke 14 walaupun Pas bertanding di enam buah kerusi Dun, mereka hanya boleh menang di Dun Permatang Pasir.

Sedangkan bagi kerusi-kerusi yang mereka tandingi di Penaga, Bayan Lepas, Sungai Dua, Permatang Berangan keputusannya tetap kecundang dan tewas.

Sementara itu untuk kerusi Dun Sungei Acheh, calon Pas turut hilang deposit dalam PRU ke 14.

Hanya kerusi Dun Permatang Pasir sahaja mampu memperolehi kemenangan dan merupakan kerusi tunggal yang berjaya dipertahankan oleh Pas daripada enam buah kerusi yang mereka tandingi dalam PRU yang lalu.

Turut hadir dalam program sumbangan tersebut ialah pimpinan AMANAH dan PKR Permatang Pauh.

5.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 4.0
CATEGORIES
TAGS