AES: Sudah tetapkan lokasi sebelum bincang di Kabinet?

AES: Sudah tetapkan lokasi sebelum bincang di Kabinet?

Bagaimana lokasi pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Melaka sudah ditetapkan walaupun belum lagi diputuskan di peringkat Kabinet?

Semalam Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keputusan pelaksanaan semula AES dan Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) akan dibincangkan di Kabinet dalam masa terdekat sebelum dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, persoalan berhubung sistem yang dlihat mengambil kesempatan ke atas rakyat itu muncul selepas sumber dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Melaka memaklumkan senarai lokasi terlibat kepada Malaysia Dateline hari ini.

Berdasarkan senarai diperoleh, terdapat 33 lokasi pemasangan kamera AES untuk mengesan had laju iaitu 13 di daerah Alor Gajah manakala di Melaka Tengah dan Jasin masing-masing 10 lokasi.

Selain itu, tidak kurang daripada 9 lokasi pemasangan kamera AES di lampu isyarat dengan lapan daripadanya dipasang di Melaka Tengah.

Terdahulu, Tiong Lai menggunakan alasan bagi mengatasi peningkatan kes kemalangan jalan raya untuk mewajarkan pelaksanaan sistem AES.

Sehubungan itu, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan alasan tersebut sebagai pembohongan bagi mengaut keuntungan daripada rakyat kerana kereta yang membawa pembesar seperti Agong, Sultan dan Perdana Menteri dikecualikan daripada AES walaupun umum diketahui dipandu dengan laju.

Dalam hal berkaitan, Tiong Lai November lepas memberitahu kerajaan membayar kira-kira RM60 juta bagi bayaran perkhidmatan kontrak kepada dua penyedia perkhidmatan AES sehingga 25 Ogos tahun lalu.

Boustead awal tahun 2015 telah menyuntik RM199 juta untuk membeli 50 peratus pegangan dalam lrat Properties Sdn Bhd, yang mengambil alih dua syarikat yang mengendalikan AES.

Kerajaan meletakkan sasaran menjelang April ini, kedua-dua sistem berkenaan telah dilaksanakan.

TAGS