AG disaran sokong petisyen PH bantah pelantikan ketua hakim

AG disaran sokong petisyen PH bantah pelantikan ketua hakim

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali disaran menyokong petisyen pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk merujuk keputusan kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Apandi juga diminta menasihatkan Perdana Menteri agar menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya merujuk hal tersebut kepada Mahkamah Persekutuan yang didapati bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pelanjutan tempoh khidmat kedua-dua hakim tersebut, Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin adalah bertentangan Perlembagaan dan Agong boleh merujuk isu terbabit kepada Mahkamah Persekutuan untuk dibuat semakan.

Peruntukan tersebut katanya termaktub dalam Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.

“Kesan buruknya termasuk menghalang peluang dan prospek sekurang-kurangnya lapan hakim Mahkamah Persekutuan, tiga daripadanya wanita. Lebih penting lagi, ia menafikan peluang Tan Sri Richard Malanjum sebagai Hakim Besar Sabah Sarawak yang pertama untuk dilantik sebagai Ketua Hakim Negara,” katanya seperti dipetik Roketkini.

Menurut beliau juga, wujud terlalu banyak pendapat undang-undang yang menentang putar belit terhadap Perlembagaan bagi menghalalkan pelantikan yang bertentangan dengan undang-undang itu.

“Ini termasuklah dari bekas Ketua Hakim Negara, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, bekas Peguam Negara, bekas menteri undang-undang, serta Majlis Peguam yang mengadakan mesyuarat tergempar mengenai perkara itu Khamis lalu,” kata ahli parlimen Gelang Patah itu.

Apandi sebelum ini dilaporkan berkata bahawa pelantikan semula kedua-dua hakim tersebut adalah bertepatan dengan Perlembagaan tanpa menghadirkan sebarang hujah baru bagi menjustifikasi keputusan terbabit.

“Apandi boleh menjerit dari atas bumbung seribu kali pun mendakwa pelantikan tersebut adalah sah dari segi Perlembagaan.

“Tetapi ia tidak menjadikannya berperlembagaan,” katanya.

Rabu lalu, pimpinan PH diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar petisyen ke Istana Negara bagi memohon supaya Yang di-Pertuan Agong merujuk keputusan kerajaan ke Mahkamah Persekutuan.

Bawa usul di Dewan Rakyat

Sementara itu, Pembangkang hari ini mengemukakan usul untuk meminta isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menulis surat kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan tandatangan anggota parlimen pembangkang.

“Kami telah mendapat 60 tandatangan, termasuk tandatangan daripada anggota parlimen PAS. Ini adalah protes kepada lanjutan ketua hakim,” kata ahli Parlimen Sungai Petani dari PKR, Johari Abdul kepada Malaysiakini.

Usul itu dibentangkan di bawah Artikel 127 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa Dewan Rakyat hanya boleh membincangkan tingkah laku seseorang hakim jika ia mendapat sokongan satu perempat anggota parlimen.

 

TAGS