Agama main peranan penting tangani perubahan iklim

Agama main peranan penting tangani perubahan iklim

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Agama memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.

Justeru, beliau menggesa semua entiti dan organisasi tanpa mengira agama untuk bersama-sama mencari pendekatan holistik untuk penyelesaian yang lebih baik.

“Perubahan iklim disebabkan perbuatan manusia dan boleh dielakkan dan penyelesaiannya memerlukan pendekatan dan tindakan holistik, dalam konteks Islam, ia melibatkan penggabungan ilmu fardhu-ain dan ilmu fardhu kifayah dan kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan ketidakseimbangan atau bencana.

“Manusia perlu sedar bahawa Tuhan mencipta segala-galanya kerana ada tujuannya tetapi manusia kadang-kadang lupa mengenainya sehingga ia memberi kesan kepada kita seperti fenomena air pasang besar yang berlaku sekarang.

“Ini berlaku bukan kerana kepercayaan tetapi kerana manusia telah mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar dan alam semula jadi,” kata beliau dalam Sesi Terhormat sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2016 Kali Ke-3  hari ini.

Selain itu, Azizan berkata, berdasarkan penyelidikan oleh Department of Civic Design, University of Liverpool, peranan agama adalah diperakukan secara empirik dan membolehkan masyarakat dan individu di dunia mengambil tindakan yang perlu untuk menangani faktor-faktor perubahan iklim.

“Berikutan perkembangan hari ini, kita perlahan-lahan hilang tumpuan kepada kehidupan asas kerana terlalu sibuk mengejar pembangunan mereka lupa tentang ini dan tidak mengambil berat mengenai alam sekitar yang akhirnya boleh menyebabkan bencana alam dan krisis kemanusiaan.

“Kita umat Islam dirahmati kerana diturunkan Al-Quran tetapi malangnya kita tidak menggunakannya sebagai panduan berhubung penjagaan alam sekitar dan sebagai contoh pada bulan Ramadan, berapa banyak makanan yang kita membazir,” katanya.

Beliau berkata, langkah pertama yang semua orang perlu lakukan ialah menyedari betapa pentingnya bumi ini kepada kita kerana tanggungjawab untuk melindungi alam semula jadi bukan terletak kepada kerajaan atau NGO tetapi ia tanggungjawab kita semua.

TAGS