Agamawan perlu berjiwa merdeka

Umat Islam sangat memerlukan agamawan, sebagai pembimbing mereka bukan saja di segi agama, tetapi juga di jalan kehidupan umumnya untuk mencapai keredhaan Allah.

Sangat besar ertinya kerana ulama atau agamawan itu mempunyai status sebagai ‘pewaris para nabi’ yang berilmu, penuh sabar dan tabah menghadapi pelbagai ujian.

Sejarah Islam sejak zaman berzaman merakamkan pelbagai peristiwa bagaimana ulama dengan ilmu dan ketakwaannya yang sangat tinggi berinteraksi di tengah masyarakat, menghadapi pelbagai gelombang cabaran yang bukan kecil.

Kini, di zaman moden ini, di Abad ke-21, di negara ini sendiri, dengan gelora bukan saja di bidang politik, krisis kepimpinan, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan segalanya, maka agamawan dengan statusnya sebagai golongan terpandang sedang diberi perhatian oleh masyarakat.

Umat Islam di negara ini yang kini menghadapi kekeliruan menghadapi krisis ini mahu menyaksikan peranan agamawan dalam memberi petunjuk bagaimana seharusnya masalah negara ini dapat diselesaikan. Tentunya melalui pendekatan Islam, justeru Islam itu ‘Rahmatan Lil-Alamin’ rahmat seluruh alam, melindungi kepentingan manusia seluruhnya.

Kerana itu sejak akhir-akhir ini sudah banyak kedengaran suara-suara yang memancarkankekecewaan umat Islam di negara ini apabila mereka yang bergelar agamawan amat jarang – kecuali beberapa orang – yang kedengaran bersuara memberikan pandangan mengenai masalah yang dihadapi negara sekarang ini yang sudah sampai ketahap berat dan mencemaskan.

Agamawan dengan ilmu dan statusnyaa tentunya memiliki jiwa merdeka, iaitu tidak takut kepada siapapun melainkan Allah s.w.t. Maka itu jika ia dilihat ‘membisu’ dengan pelbagai alasan maka tentu sekali tidak munasabah.

Agamawan, seperti anggota masyarakat lainnya, masa kini yang berada di tengah pelbagai saluran melalui maklumat, tidak mungkin boleh memberi alasan ‘tidak tahu’ akan isu-isu yang berbangkit, terutama yang dilihat menyentuh soal amar makruf nahi mungkar.

Memang menyeru yang makruf lebih mudah dari menentang yang mungkar kerana risikonya amat tinggi.

Tidak mungkin semua maklumat itu tidak benar atau palsu dan fitnah. Agamawan – dengan ilmu dan kewibawaannya – bebas untuk menentukan, tetapi untuk mengatakan semuanya tidak benar adalah alasan yang tidak kukuh.

Atau jika ia memakai alasan ‘ini isu politik tidak boleh campur’, maka adakah benar agamawan tidak perlu menyentuh isu politik. Tentu saja isu politik tidak terlepas dari masalah atau persoalan amar makruf, nahi mungkar.

Politik ialah mengenai kuasa, kepimpinan yang memegang amanah dan mesti berlaku adil. Oleh itu tidak terlepas persoalan amar makruf, nahi mungkar. Dengan demikian di mana tugas agamawan untuk menjelaskan yang mana makruf dan yang mana mungkar.

Tidak mudah untuk diterima apa saja hujah – tidak boleh campur isu politik – kerana ia tidak munasabah, memandangkan tanggungjawab agamawan sangat berat dan penting dalam menentukan hal tuju negara untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Kini rakyat, khususnya umat Islam di negara ini bertanya ke mana perginya suara agamawan kerana umat Islam sangat memerlukan bimbingan. Agamawan hendaknya sepanjang masa tidak terpisah dari berada di tengah masyarakat.

Dalam sebuah masyarakat yang demikian moden dan canggih sekarang ini,agamawan berada di tengah pelbagai percaturan. Maka itu ia perlu muncul sebagai institusi penting untuk membetulkan jalan masyarakat. Ia mesti menegakkan kebenaran walau dalam apa situasi dan cabaranpun – dengan penuh wibawa, bijaksana dan berani.

“Kalau sebagai pewaris nabi,” kata tokoh intelektual tersohor, Dr. Siddiq Fadhil, “maka yang bergelar ulama itu mesti mencontohi Nabi Musa a.s. yang diperintah oleh Allah s.a.w.t. supaya berjumpa Firaun kerana Firaun itu melampau batas.” Demikian, katanya, dalam sebuah forum tidak lama dulu.

Ertinya di sini agamawan mesti berani menasihati pemimpin supaya berhenti melakukan kemungkaran dalam bentuk apapun dan ini memerlukan keberanian, iaitu keberanian sebagai ulama pewaris nabi. Harga yang mesti ‘dibayar’nya tentu terlalu mahal. Tetapi itulah kewajipannya.

Sangat menarik di sini, di mana masyarakat semakin peka dengan kedudukan mereka. Umat prihatin sedang ‘meneropong’agamawan dari semua sudut.

Di tengah-tengah suasana ini, memang hadir para aagamawaan yang muncul dengan beraninya memperkatakan pelbagai kemungkaran yahg berlaku di negara ini, termasuk politik, ekonomi, pendidikan dan apa jua lapangan hidup.

Pandangan ulama ini – antaranya Dato’ Dr. Siddiq Fadhi, Dato’ Dr. Asri Zainal Abidin, Dr. Mazlee Malik, Ustaz Haji Ahmad Awang, Ustaz Abd Ghani Shamsuddin dan beberapa lagi, sentiasa diberi perhatian.

Maknanya, walaupun jumlah mereka kecil, tetapi kehadiran mereka sangat bererti dirasakan oleh umat Islam dan masyarakat umumnya, lebih-lebih lagi rakyat prihatin.

Datuk Dr. Siddiq Fadhil telah menyebut bahawa ada orang yang merasakan dirinya ulama, yang sepatutnya biarlah orang ramai yang menganggap ulama, Iaitu setelah melihat ciri-ciri ulama itu ada pada seseorang itu.

Kesimpulannya, kita sedang menunggu kehadiran agamawan berjiwa merdeka yang mampu memandu umat ini.

TAGS