Agensi pusat gagal patuhi syarat bina rumah mampu milik di Pulau Pinang

Agensi pusat gagal patuhi syarat bina rumah mampu milik di Pulau Pinang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri tidak pernah menganaktirikan agensi persekutuan yang benar-benar berhasrat membina rumah mampu milik di Pulau Pinang.

Sambil menolak tuduhan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Jagdeep berkata, enam daripada 15 projek perumahan yang dimohon telahpun diluluskan sebelum ini.

Siling harga maksimum rumah di bahagian Pulau ditetapkan RM400,000 seunit manakala RM250,000 sebuah di bahagian Seberang Perai.

“Dikatakan 9,600 unit rumah mampu milik dan 100 peratus rumah mampu milik.

“Tetapi apabila kita (kerajaan negeri) semak di bahagian pulau harganya RM1.8 juta (dan) di bahagian Seberang Perai ada rumah RM800,000… apakah itu rumah mampu milik.

“Jadi saya memberitahu JKP (dan) Perda bahawa ini sesuatu yang tidak boleh diterima, sehinggalah mereka mematuhi syarat-syarat pemajuan perumahan negeri Pulau Pinang.

“Daripada lapan (projek perumahan), enam telah diluluskan selepas pemaju (JKP) akur dengan ketetapan kita (kerajaan negeri) untuk mengurangkan siling harga, dan ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menganaktirikan (agensi persekutuan),” kata Jagdeep yang juga Adun Datuk Keramat kepada pemberita di sini, pagi semalam.

Sejak dua tahun lalu, difahamkan, JKP ada memohon kebenaran membina lapan projek perumahan daripada kerajaan negeri, manakala baki tujuh projek lain dimohon oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

20 Mac lalu, akhbar Mingguan Malaysia antara lain melaporkan Abdul Rahman mendakwa kedua-dua agensi persekutuan tersebut seringkali tidak diberi peluang dan ruang untuk membantu Kerajaan Pulau Pinang menyediakan rumah yalng lebih selesa untuk rakyat.

Menurut Jagdeep, laporan sama turut dipetik oleh beberapa portal berita atas talian, termasuk Bernama.

Berang dengan tuduhan itu, Jagdeep Singh menyifatkan tuduhan Menteri sebagai “isu lama” dan “kebudak-budakan”.

Sebelum itu, Jagdeep diiringi Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Jagdeep Singh Deo peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat.

Sejumlah 20 pasukan menyertai kejohanan yang julung-julung kali diadakan, anjuran bersama Pejabat Adun dan JKKK Kampung Dodol.

TAGS