Agih negeri, lagi bukti kerjasama Pas-Umno?

Agih negeri, lagi bukti kerjasama Pas-Umno?

Kerjasama Pas-Umno dilihat semakin jelas melalui ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang hanya mahu partinya menguasai negeri tertentu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Abdul Hadi Awang Menurutnya, parti itu harus memerintah di lima negeri dalam satu majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas di Alor Limbat di Marang, Terengganu yang difahamkan berlangsung bulan lalu.

Rakaman video berdurasi 55 saat yang tular di media sosial itu juga menyaksikan penegasan Hadi sebanyak dua kali bahawa negeri-negeri lain biarlah dikuasai Umno-BN.

“Sebab itu bagi Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor. Biar Pas memimpin. Negeri lain Umno nak lagi biarkan dia. Biarkan dia. Kalau boleh (Pas) nak telan habis, telan habis,” ujarnya yang ketika itu berjubah dan berserban putih.

Ini bermakna Hadi tidak mempedulikan sama ada BN akan menguasai atau tidak lapan negeri lain iaitu Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Tanpa menyebut pihak tertentu, beliau selanjutnya berkata, pentingnya Pas menjalin satu kerjasama politik.

Menyedari kemampuan Pas terhad untuk menguasai semua negeri, Hadi menyifatkan kerjasama itu bertujuan bagi mengelak kuasa politik Islam lenyap.

“(Pas) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerlukan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik Islam. Ini sangat penting kita kena sedar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu menganggap ahli dan penyokong Umno-BN turut menerima pendekatan politik Pas pada masa sekarang yang tidak sekeras seperti sebelum ini.

“Ini budaya politik dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama. (Umno) tak mahu (pendekatan politik) keras, mahu lembut.

“Lembut inilah kita boleh berbincang untuk mencari mana benar, mana salah. Kalau silap boleh perbetul,” ujarnya lagi pada ketika umum mengetahui Pas begitu berkeras serta bermusuh dengan Amanah dan DAP.

TAGS