Ahmad Bashah  mahu rancang  pembangunan negeri  untuk basmi kemiskinan

Ahmad Bashah mahu rancang pembangunan negeri untuk basmi kemiskinan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menyedari Kedah dikenali sebagai negeri pertanian yang dikaitkan dengan kemiskinan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau akan melihat kepada keperluan di negeri ini dalam merancang soal pembangunan.

“Kalau kita nak pertahankan pertanian 100 peratus, kita akan ketinggalan. Kita nak lihat soal pembangunan, kita kena imbangkan. Industri mampu beri peluang pekerjaan tetapi kita adalah negeri pertanian,” katanya.

Ahmad Bashah berkata sebagai kerajaan negeri daripada parti yang sama dengan kerajaan Persekutuan iaitu BN, beliau akan memastikan segala perancangan di negeri ini adalah selari dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau yang hanya akan memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Ahad ini susulan Jumaat dan Sabtu merupakan cuti hujung minggu di Kedah berkata, beliau akan mengutarakan beberapa isu berkaitan pembangunan di negeri ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kebetulan beliau datang sini hari ini, saya ada masa sehari dengan beliau. Banyak perkara yang saya boleh bawa kepada Perdana Menteri,” katanya.

Najib akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Kedah hari ini dan antara program beliau adalah merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Paya Besar, Lunas dan merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sungai Petani.

“Apa yang berlaku perlu bersama kerajaan Persekutuann tak boleh lari dari itu. Jangan ada perbezaan, apa yang kita nak buat, mesti maklum dan mesti selari dengan pusat. Penghujungnya kita nak bantuan pusat,” katanya.

Ahmad Bashah, 66, yang merupakan Adun Bakar Bata,mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 di Istana Anak Bukit semalam.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang meletakkan jawatan semalam berikutan hilang sokongan majoriti wakil rakyat di negeri ini.

TAGS