Ahmad Bashah pilihan tepat ganti Mukhriz, kata Adun BN

Ahmad Bashah pilihan tepat ganti Mukhriz, kata Adun BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri  (Adun) Barisan Nasional (BN)  berpendapat Ahmad Bashah adalah pilihan yang tepat untuk merajui kerajaan negeri Kedah dan mengukuhkan pengaruh Umno- BN.

Menurut mereka, dengan pengalaman selama lima penggal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata sejak 1995, dua penggal sebagai Exco kerajaan negeri serta sebagai Timbalan Menteri Persekutuan sejak 2013, Ahmad Bashah bukan pilihan tangkap muat bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Malah, dalam parti juga, beliau adalah watak penting merampas kembali Kedah daripada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, kata mereka.

Exco Kerajaan Negeri Datuk Tajul Urus Mat Zin berkata: ” Beliau berpengalaman, bertanggungjawab dan dengan latar belakang cemerlang, beliau mampu untuk menyatukan semula parti.

“Saya yakin rakyat Kedah akan bersama beliau dalam menerajui Kedah.” ujarnya yang mana namanya juga pernah tersenarai antara calon  MB Kedah.

Bagi Exco Kanan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata: “Saya yakin beliau akan mampu memenangi hati rakyat.”

Ahmad Bashah turut diyakini mampu mentadbir negeri dengan baik, terutama membawa Kedah merealisasikan agenda pembangunan dari sudut ekonomi, melalui bantuan kerajaan Persekutuan, katanya.

Adun Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar berkata Ahmad Bashah mampu menyatupadukan dan merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota dan pemimpin Umno.

Katanya Ahmad Bashah diuji pada PRU-13 (2008) selepas negeri ini diperintah oleh Pas dan bekerja keras untuk merampas kembali negeri ini daripada Pas.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCA Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata Ahmad Bashah selaku ahli politik senior di Kedah mampu merapatkan hubungan antara parti-parti komponen BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Tempoh dua tahun ini akan menguji beliau untuk kembali menarik sokongan rakyat Kedah bagi mengekalkan BN sebagai peneraju kerajaan negeri. Saya yakin pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah akan dapat meneruskan kelangsungan politik BN di Kedah,” katanya.

Dalam perkembangan terkini petang tadi  Pejabat Perdana Menteri turut mengeluarkan kenyataan menyatakan Datuk Seri Mukhriz  Mahathir perlu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah selepas hilang sokongan majoriti wakil rakyat di negeri itu.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kehilangan sokongan itu susulan kepimpinan Umno negeri hilang keyakinan terhadap kepimpinannya, sebagai Menteri Besar dan pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, dan kebimbangan bahawa persiapan lebih mantap diperlukan untuk mempertahankan Kedah pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

“Perdana Menteri percaya bahawa parti dan kerajaan harus berdisiplin dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menangani cabaran ekonomi dan keselamatan yang dihadapi negara masa kini, dan untuk mengotakan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lepas apabila Barisan Nasional diberi mandat oleh rakyat,” kata kenyataan itu.

Umno Kedah telah menzahirkan sokongannya kepada prinsip perpaduan dan disiplin parti, kata kenyataan tersebut

Mukhriz hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Katanya beliau dimaklumkan semalam bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.

TAGS