Air Pasang: 52 keluarga di Selangor ditempatkan di tiga pusat pemindahan

Air Pasang: 52 keluarga di Selangor ditempatkan di tiga pusat pemindahan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebanyak 52 keluarga terdiri daripada 224 orang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di sekitar Selangor sejak malam tadi berikutan fenomena air pasang besar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mangsa yang terlibat adalah penduduk dari Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam (57 orang), Kampung Tok Muda, Kapar, Klang (152 orang) dan Kampung Tok Adam, Tanjong Karang (15 orang).

Beliau berkata tiga pusat pemindahan itu dibuka di Dewan Kampung Tok Muda; Balai Raya Lorong Hamzah 2, Kampung Tok Adam dan Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar.

“Beberapa kawasan lain iaitu di sekitar daerah Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam turut terjejas tetapi tiada sebarang pemindahan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kawasan terbabit ialah Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Jalan Klang, Banting, Pandamaran, Taman Selat Damai dan Pelabuhan Klang kesemuanya di daerah Klang; Pekan Bagan Pasir Penambang di daerah Kuala Selangor serta Tebuk Mendeleng dan Sungai Lang di daerah Sabak Bernam.

Mohd Sani berkata dua lagi daerah iaitu Sepang dan Kuala Langat tidak mengalami limpahan air laut tersebut.

Beliau meminta penduduk terutama yang tinggal berdekatan kawasan sungai atau laut supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan berikutan jangkaan air laut pasang tinggi berlaku dalam tempoh beberapa hari ini.

TAGS