Air pasang besar: Selangor, Kedah catat peningkatan mangsa banjir

Air pasang besar: Selangor, Kedah catat peningkatan mangsa banjir

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Selangor dan Kedah mencatatkan peningkatan mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar, sementara Perak dan Negeri Sembilan masing-masing tiada mangsa yang dipindahkan setakat pagi ini.

Di SELANGOR, jumlah penduduk yang dipindahkan ke lima pusat pemindahan bertambah kepada 386 orang setakat 9 pagi berbanding 380 orang malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor, penambahan mangsa melibatkan penduduk dari Kampung Batu 5, Kapar, Klang yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali iaitu seramai 60 orang berbanding 54 orang malam tadi.

Mangsa banjir yang ditempatkan di empat pusat pemindahan lain kekal iaitu dari Kampung Tok Muda, Kapar (236 orang), Sekinchan (dua orang) dan penduduk sekitar Sungai Air Tawar (88 orang).

Empat pusat pemindahan itu ialah Dewan Serbaguna, Kampung Tok Muda, Kapar, dan Dewan Sungai Air Tawar, Dewan Parit Baru serta Dewan Seri Sekinchan di Sabak Bernam.

Di KEDAH, seramai 85 mangsa dari 24 keluarga di beberapa kampung di Kota Kuala Muda mula dipindahkan ke empat pusat pemindahan malam tadi.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata, tiga pusat pemindahan yang dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala, Dewan Kampung Paya, Dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil dan rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Meriam dibuka tengah malam.

Manakala di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lt Kolonel Kamal Mokhtar berkata tiada pusat pemindahan dibuka akibat fenomena itu.

Namun, sebanyak 15 kampung di sekitar Port Dickson dijangka akan terjejas sekiranya berlaku air pasang besar yang disertai hujan lebat dan angin kencang.

Antaranya adalah Kampung Sungai Raya di Pasir Panjang, Kampung Si Rusa Dalam, Kampung Telok Pelandok di Si Rusa, Kampung Air Meleleh, Kampung Paya dan Taman Sri Tarjing.

Di PERAK, tinjauan mendapati keadaan terkawal walaupun air pasang naik secara berperingkat mulai pukul 1.30 pagi dan hujan renyai melanda kawasan berkenaan sejak pukul 12 tengah malam.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Manjung, M. Sasitharan berkata paras air di Sungai Panchor mencatatkan bacaan 3.4 meter dari paras laut setakat pukul 4.45 pagi.

“Malah kalau diikutkan ramalan Jabatan Laut Malaysia, air pasang paling tinggi pada malam ini sepanjang tempoh 14 Okt sehingga 18 Okt, namun masih terkawal,” katanya.

TAGS